Penyelesaian AI, produk keselamatan siber di Taiwan berkembang – BOFT

Penyelesaian AI, produk keselamatan siber di Taiwan berkembang – BOFT

KUALA LUMPUR, 4 Sept — Kecerdasan Buatan Internet Pelbagai Benda (AIoT) dan keselamatan siber adalah dua daripada enam industri teras strategik penting dalam dasar pembangunan perindustrian Taiwan, menurut Biro Perdagangan Asing Taiwan (BOFT).

Pengarahnya Cynthia Kiang berkata penyelesaian pantas seperti ‘eMask App’ membuktikan negara itu mempunyai kemampuan dan potensi untuk menyediakan produk perisian dan perkakasan terbaik kepada industri.

“Taiwan memiliki asas kukuh dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan semikonduktor,” katanya dalam sidang akhbar secara strim langsung.

Program itu merupakan satu daripada inisiatif ‘Taiwan Excellence’ iaitu kempen promosi antarabangsa oleh BOFT dan Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan untuk mempamerkan penyelesaian cemerlang negara itu dalam AI dan keselamatan siber.

Enam syarikat ICT Taiwan iaitu iEi, Tatung System Technologies Inc. (TSTi), Zyxel Networks Corporation, The Syscom Group, BankPro e-Service Technology Co. Ltd. dan LaFresh Information Co. Ltd. turut menyertai acara itu dengan mempamerkan produk terkini mereka.

Zyxel Networks, peneraju yang menyediakan penyelesaian perniagaan selamat mempamerkan USG FLEX, siri baharu ‘firewall’ untuk perniagaan kecil dan sederhana meneruskan mobiliti, kesalinghubungan dan keperluan keselamatan di tempat kerja pada pasca pandemik.

Sementara itu, LaFresh menyediakan sistem perisian seperti kios, tablet, pesanan dalam talian, kaedah pembayaran mudah alih yang pelbagai dan aplikasi perkhidmatan awan lain seperti penyepaduan peranti Internet Pelbagai Benda.

Ketika ini, syarikat itu turut memperluaskan bidang perniagaannya dalam AI.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This