Perak tagih bisa pemain ke-12
KUALA LUMPUR,. Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic berharap penyokong membanjiri Stadium Perak, malam ini apabila pasukannya beraksi buat kali pertama di laman sendiri dengan melayan kunjungan PJ City.
Pengendali berusia 54 tahun itu percaya kehadiran pemain ke-12 pastinya memberi tonik tambahan buat anak buahnya bagi berdepan PJ City yang disifatkan pasukan yang kuat.
“Saya menyaksikan perlawanan antara PJ City dengan Pahang (PJ City menang 3-2), mereka pasukan yang baik, begitu juga pasukan lain. Jadi, kami tidak boleh memandang mudah mana-mana pasukan.
“Namun, secara jujurnya saya percaya bermain di tempat sendiri dan di hadapan penyokong kami, pemain mampu memberikan saingan yang lebih sengit kepada mereka.
“Ia tidak mudah kerana tahun ini mereka mempunyai pasukan yang lebih baik dan kami pula tidak memiliki skuad yang besar. Jadi, saya perlukan semua pemain untuk bermain,” kata Durakovic.
Dalam pada itu, Durakovic mengakui pasukan itu masih merasai kehilangan pemain tengah, Brendan Gan yang membuat keputusan berpindah ke Selangor.
Selama dua musim bersama Perak, Brendan membantu pasukan itu muncul juara Piala Malaysia 2018 selain naib juara Piala FA musim lalu, Durakovic
“Kami tidak mempunyai skuad yang besar dan ada beberapa pemain tempatan yang kami rindui ketika sesi latihan pramusim termasuk Brendan yang berpindah ke Selangor.
“Sukar kami mencari pengganti mereka tetapi kami dapat gantikan mereka dengan pemain import dan pemain muda tempatan yang baik. Jadi, saya gembira,” katanya.