Peranan KMKK penting kepada kerajaan: Tiang
SIBU: Peranan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) adalah sangat penting kepada kerajaan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Michael Tiang berkata, tanpa khidmat KMKK sesuatu dasar dan polisi kerajaan mungkin tidak sampai kepada rakyat. “KMKK banyak memainkan peranan membantu kerajaan menyampaikan maklumat mengenai dasar dan polisi kerajaan.
“Oleh itu, jangan anggap khidmat anda tidak penting kerana sebenarnya anda sangat penting bagi kami.
“Sehebat manapun wakil rakyat ataupun kerajaan memerintah dengan dasar dan polisinya yang baik pun tiada guna jika KMKK ini tidak memainkan peranannya,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Kursus Pemerkasaan (Pengurusan Dan Penyediaan Minit Mesyuarat) KMKK dan Setiausaha Jawatan Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Daerah Sibu (DUN N.54 Pelawan) di sini pada petang Khamis.
Hadir sama ialah Pegawai Daerah Sibu Khalid Andong dan wakil Residen Bahagian Sibu Macgyver Bol. Seramai 23 orang KMKK termasuk Setiausaha JKKK dari kawasan DUN Pelawan telah menyertai kursus sehari itu yang diadakan di Dewan Kompleks Islam Sibu.
Tiang berpendapat bahawa KMKK ini merupakan barisan hadapan dalam komuniti masing-masing. Menurutnya, komuniti akan pergi kepada KMKK untuk mengadu serta menyampaikan masalah mereka.
“Oleh itu, anda adalah orang pertama akan berjumpa dengan rakyat sebelum membawa sesuatu masalah kepada pihak berkenaan. “Dalam negara ini, KMKK memainkan peranan kepada tiga organisasi iaitu kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan,” jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu.
Sementara itu, peranan KMKK juga penting dalam menentukan hala tuju negeri ini dalam masa kurang daripada 10 tahun lagi dalam Sarawak menuju kepada sebuah negeri berpendapatan tinggi di Malaysia.
Justeru, beliau menggesa KMKK sentiasa melengkapkan diri dengan seberapa banyak pengetahuan dan maklumat terkini mengenai perancangan kerajaan negeri pada masa akan datang dalam menyalurkan info yang sahih dan tepat kepada komuniti mengenai dasar-dasar dan polisi kerajaan.
“Hendak saya nasihatkan kepada KMKK untuk mengingatkan komuniti anda agar tidak mudah terpengaruh dan mudah percaya mengenai propaganda yang tidak betul mengenai polisi dan dasar kerajaan yang terdapat di media sosial.
“Oleh itu, saya menggesa anda untuk melengkapkan diri dengan seberapa banyak pengetahuan dan maklumat terkini mengenai polisi dan dasar kerajaan supaya anda boleh menyalurkannya kepada rakyat dengan tepat tanpa mudah terpengaruh dengan berita-berita yang tidak betul di media sosial,” katanya lagi.
Bercakap mengenai kursus tersebut, Tiang berharap KMKK dapat memanfaatkannya dengan sebaik mungkin dalam memperkasakan peranan mereka sebagai pemimpin di peringkat akar umbi. Ujarnya, KMKK masa kini memerlukan kebolehan dari pelbagai sudut dalam memperkasakan khidmat mereka agar segala amanah yang dipertanggungjawabkan dapat berjalan lancar.
“Diharap kursus ini dapat memantapkan lagi peranan anda dalam peringkat akar umbi kerana anda merupakan telinga dan mata kerajaan,” tambahnya lagi.
-Agensi