Perangi antivaksin, dapatkan pempengaruh galakkan vaksinasi – Pakar psikologi

Perangi antivaksin, dapatkan pempengaruh galakkan vaksinasi – Pakar psikologi

SHAH ALAM,. Bagi menentang maklumat salah daripada antivaksin, kita perlu menggerakkan golongan berpengaruh serta pengaruh media sosial untuk menggalakkan suntikan vaksin, kata pakar psikologi.

Pengarah Penyelidikan dan Advokasi SOLS Health-Thrive Well, Dr Arman Rashid berkata kita perlu bertutur dalam bahasa yang sama dengan antivaksin dalam mendekati masyarakat yang lebih luas.

“Kajian menunjukkan mereka yang percaya kepada berita palsu dalam talian lebih cenderung dipujuk oleh pempengaruh daripada pakar, yang bermaksud kita memerlukan pempengaruh untuk membawa bukti saintifik walaupun mereka mungkin bukan pakar.

“Maklumat salah mengenai vaksin daripada antivaksin bukanlah perkara baharu tetapi telah mendapat momentum dengan pergerakan mereka berkembang dalam talian dan mudah bagi sesetengah individu untuk mempercayai berita palsu berdasarkan membaca blog atau menonton video, sebab itulah literasi digital penting dalam kalangan semua peringkat umur,” katanya.

Bagi pelakon yang juga seorang pempengaruh, Beto Kusyairy, 41, berkata rakyat Malaysia perlu memberi perhatian kepada apa yang dikatakan pakar berkaitan COVID-19, bukannya membuat hantaran teks pada WhatsApp dan Telegram, yang dapat mengubah persepsi mereka terhadap virus maut itu.

“Kita ada pakar dalam bidang masing-masing. Doktor, ilmuwan agama seperti mufti di Malaysia dan seluruh dunia yang mengesyorkan pengambilan vaksin.

“Jadi siapa mereka (antivaksin) untuk menidakkan pakar ini? Fikir secara logik,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beto Kusyairy yang mempunyai lebih 642,000 pengikut di Instagram dan telah mengambil dos pertama vaksin AstraZeneca di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Perubatan Universiti Malaya enam hari lalu, dilihat menggesa orang lain berbuat demikian di akaun Instagram dan Facebooknya.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata kumpulan antivaksin boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948 jika didapati menghasut rakyat daripada menerima suntikan vaksin COVID-19.

Takiyuddin berkata tindakan juga boleh diambil di bawah undang-undang lain sedia ada termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Ordinan Darurat 2021.

Sementara itu, Arman berkata dalam istilah psikologi, mengisytiharkan vaksin sebagai tidak selamat dengan mengabaikan bukti saintifik telah diistilahkan sebagai kesan Dunning-Kruger dan ini berlaku apabila individu memandang tinggi apa yang mereka tahu dan meremehkan apa yang mereka tidak tahu, yang membawa kepada pandangan yang kuat walaupun sains mengatakan sebaliknya.

“Penyelidikan dari sebuah universiti konsortium Amerika Syarikat (AS) mendapati kesan Dunning-Kruger memainkan peranan penting dalam maklumat dan propaganda palsu terhadap suntikan vaksin,” katanya sambil menambah Prof David Dunning dari Universiti Michigan adalah orang yang mencipta istilah memberi amaran tentang akibat kejahilan yang berbahaya kerana ini adalah bentuk bias kognitif yang mengabaikan jurang pengetahuan dan kepakaran kita.

Dalam kes media sosial, Arman berkata kesan Dunning-Kruger semakin diperkuat apabila antivaksin terpencil mendapat suara yang tidak seimbang dalam talian.

“Mereka berasa diwajarkan oleh ‘likes’ yang menyokong pendapat yang tidak mempunyai bukti saintifik, yang menjadikan mereka lebih tidak sedar mengenai jurang pengetahuan mereka,” katanya.

Arman berkata pada zaman pakar dalam talian yang diisytiharkan sendiri, kita melihat kesan ini lebih banyak dalam kalangan antivaksin kerana mereka bukan sahaja terlebih menilai diri mereka sendiri tetapi juga memandang rendah kepada pakar.

Beliau berkata media sosial berfungsi sebagai alat yang berkuasa untuk antivaksin mengunjurkan diri mereka sebagai pakar, terutama dalam zaman apabila sesiapa sahaja boleh menjadi pakar dalam talian, yang membawa kepada pakar tanpa kepakaran saintifik mengenai vaksin, menyebarkan maklumat salah.

“Dalam kebanyakan kes, antivaksin berusaha untuk mempengaruhi orang lain sebagai satu bentuk pengesahan dan sokongan pandangan terpencil mereka yang mereka tahu telah ditolak terutamanya oleh masyarakat arus perdana. Mereka sering didorong oleh teori konspirasi, terutamanya mengenai kuasa geopolitik dan syarikat farmaseutikal,” kata Arman.

Bersetuju dengan pendapat Arman bahawa ketidakpercayaan mereka kepada vaksin ialah kerana tidak faham atau ragu-ragu dengan ilmu sains atau bahan-bahan di dalam vaksin.

Beliau berkata ini disokong berdasarkan kajian terkini di United Kingdom dan Ireland oleh Murphy et al. (2021) yang diterbitkan di dalam journal terkemuka ‘Nature’, didapati mereka yang menolak vaksin COVID-19 kurang mendapat maklumat mengenai pandemik daripada sumber yang berwibawa.

“Ketidakpercayaan ini bertambah, kerana ada undang-undang yang mewajibkan anak-anak diberi vaksin untuk bersekolah di sekolah awam.

“Malangnya, keputusan untuk tidak memberi vaksin kepada diri sendiri atau anak-anak tidak hanya mempengaruhi mereka yang telah menyebabkan munculnya penyakit berjangkit di kawasan mereka yang telah dibasmi atau hampir hilang, sebagai contoh penyakit demam campak telah diisytihar tiada pada 2002 tetapi muncul kembali pada 2014,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )