PerantiSiswa: Pelajar boleh kemuka rayuan bertulis kepada pemimpin tempatan

PerantiSiswa: Pelajar boleh kemuka rayuan bertulis kepada pemimpin tempatan

KOTA BHARU,. Permohonan pelajar yang ditolak untuk mendapatkan peranti siswa kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan boleh mengemukakan rayuan secara bertulis atau berjumpa terus dengan pemimpin tempatan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata setakat ini 40,000 permohonan telah ditolak daripada jumlah keseluruhan permohonan iaitu lebih 470,000 orang.

“Saya cadangkan mereka boleh jumpa dengan pemimpin tempatan untuk memberi sokongan atau pengesahan kerana terdapat beberapa faktor yang boleh kami pertimbangkan walaupun tidak melepasi syarat kelayakan sebagai contoh pendapatan keluarga lebih RM5,000 sebulan.

“Tetapi pemohon mempunyai bilangan adik-beradik ramai dan terpaksa ulang-alik dengan jarak yang jauh dari sekolah ke rumah, selain seorang yang aktif dalam bidang kokurikulum di sekolah.

“Oleh itu, bagi yang tidak berjaya jangan berdukacita kerana belum secara muktamad lagi, saya akan ikhtiar bantu pelajar-pelajar ini asalkan tidak terlalu jauh daripada garis-garis syarat yang dikemukakan, kami akan beri pertimbangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengagihan PerantiSiswa Keluarga Malaysia kepada 902 pelajar Tingkatan Enam peringkat Pejabat Pendidikan Daerah Kota Bharu, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata pihak sekolah juga seperti pengetua boleh membuat rayuan secara bertulis kepada pihaknya sekiranya ada pelajar mereka yang tidak berjaya menerima peranti siswa.

“Selain pemimpin tempatan yang tahu mengenai latar belakang keluarga pemohon, pengetua sekolah juga boleh kemukakan rayuan ini kerana mereka terlibat secara langsung mengenai penglibatan aktif pelajar-pelajar ini di sekolah,” katanya.

Antara syarat pemberian peranti siswa adalah warganegara Malaysia, kategori keluarga B40 iaitu pendapatan isi rumah RM4,850 dan ke bawah; sedang mengikuti pengajian di peringkat Matrikulasi, Asasi, Diploma, Diploma Vokasional Malaysia, Diploma Lanjutan dan Ijazah Sarjana Muda di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atau Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Selain itu, syarat lain adalah pemohon merupakan pelajar Tingkatan Enam di bawah KPM (dua semester); bukan pelajar tahun akhir pada tahun 2022; mengikuti pengajian secara sepenuh masa dan tidak pernah menerima bantuan peranti daripada mana-mana program di bawah kerajaan.

Pada 28 Okt lepas, Annuar turut memaklumkan tambahan 50,000 unit peranti di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia telah dibuat bagi memberi peluang pelajar yang membuat rayuan memperolehnya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This