Peraturan baharu tambah nilai pencak silat di pentas dunia – Pesaka

Peraturan baharu tambah nilai pencak silat di pentas dunia – Pesaka

KUALA LUMPUR,. Peraturan baharu yang menjadikan pertandingan pencak silat lebih ekstrem merupakan nilai tambah yang tinggi kepada potensi sukan itu untuk dipertandingkan pada temasya Sukan Olimpik 2036, kata Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka).

Peraturan yang diputuskan pada mesyuarat teknikal undang-undang dan peraturan kejuaraan silat Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT) pada Februari lepas, akan diperkenalkan pada Kejuaraan Dunia yang dijadualkan berlangsung di Kuching, tahun depan.

Naib Presiden 2 Pesaka Sulleh Udin berkata selain faktor komersial, peraturan baharu itu turut mampu menjadi penyelesaian terbaik kepada isu keputusan berat sebelah oleh juri yang sering melanda sukan berkenaan.

“Pihak Olimpik (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa) melihat dari sudut peraturan yang mana terdapat unsur-unsur dalam pertandingan pencak silat yang tidak boleh dikawal.

“Disebabkan kelemahan ini, mereka merasakan pertandingan pencak silat tidak kelihatan seperti adanya nilai ketelusan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Pemilihan Kriteria Sukan SEA 2021 di Wisma OCM, di sini hari ini.

Antara peraturan baharu itu ialah pesilat dibenarkan membuat pukulan dan tendangan lebih bebas terhadap pihak lawan termasuk menggunakan siku dan lutut kecuali pada tiga anggota badan iaitu kepala, lutut dan kemaluan.

Selain itu, mata jatuhan hanya akan direkodkan oleh ketua pertandingan manakala mata diberikan oleh barisan juri perlu mendapat persetujuan lebih daripada dua juri.

Isu keputusan berat sebelah dalam sukan pencak silat di beberapa temasya sukan bukan satu perkara baharu apabila sebelum ini jaguh negara, Mohd Al Jufferi Jamari menjadi mangsa ketidaktelusan keputusan juri pada aksi final Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang sehingga mengambil keputusan menarik diri.

Mohd Al Jufferi berbuat demikian sebagai membantah keputusan penuh kontroversi yang menyaksikan setiap pukulan dan tendangan Al Jufferi tidak dikira oleh beberapa juri sebaliknya markah terus diberikan kepada pesilat tuan rumah Komang Harik Adi Putra.

“Jika diimbas Sukan Asia 2018, empat pesilat kita mara ke final tetapi satu pingat emas pun kita tidak berjaya raih disebabkan unsur-unsur yang sukar dikawal ini, jadi sebab itu kita cuba perbaiki kelemahan ini supaya pencak silat dengan mudah masuk ke Olimpik 2036,” jelas Sulleh.

Sementara itu, Sulleh berkata peraturan baharu tersebut menjadikan pertarungan pencak silat lebih menarik untuk ditonton, sekali gus menarik minat lebih ramai penggemar sukan yang mempunyai unsur ekstrem.

“Masyarakat dunia perlu satu nilai yang lebih agresif dari segi sukan, seperti OneSilat yang pernah dipertandingkan, semua aksi ekstrem mendapat perhatian dan tontonan yang meluas, tetapi tidak bermakna tidak ada peraturan,” tambah beliau.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This