Peraturan PKP4 terbatal dengan bermulanya PKP5 hari ini

Peraturan PKP4 terbatal dengan bermulanya PKP5 hari ini

PUTRAJAYA, 4 Mei — Peraturan-peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan fasa empat (PKP4) sebelum ini terbatal dengan bermulanya PKP Bersyarat (PKPB) hari ini sebagai PKP fasa lima (PKP5), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. @ismailsabri60

Justeru itu, katanya semua pihak perlu mematuhi peraturan di bawah PKP5.

“Jika ada pihak tertentu yang masih mahu mengikut peraturan PKP4, ia adalah salah, kerana ia telah pun diganti dengan peraturan baharu PKP5.

“Sekarang semua negeri tertakluk pada PKP5, saya harap mereka (di peringkat negeri) sedar perkara ini, perlu patuh kepada PKP5 ini,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di sini hari ini.

Pelaksanaan PKPB atau PKP5 yang bermula hari ini menyaksikan hampir kesemua sektor ekonomi dan sosial dibuka semula.

PKPB juga membolehkan empat individu serumah dan sekeluarga dalam satu kenderaan untuk keluar bagi tujuan keperluan penting berbanding hanya dua orang dalam PKP4.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tetap terpakai dalam PKP5 dan hukuman kepada yang ingkar akan tetap dikenakan seperti PKP sebelumnya.

“Akta tetap sama. Hukuman kepada yang ingkar ialah kompaun tak lebih RM1,000, penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya sekali dan perniagaan yang tidak mengikuti SOP yang ditetapkan, premis mereka boleh ditutup,” katanya.

Ismail Sabri berkata orang ramai yang nampak dengan jelas pengingkaran pematuhan prosedur operasi standard di bawah PKPB boleh membuat laporan di balai polis berdekatan dan pejabat pihak berkuasa tempatan seperti majlis

Jelasnya cara lain untuk membuat aduan ialah melalui hotline Majlis Keselamatan Negara (MKN) di nombor 03-88882010 ataupun melalui myGCC 03-80008000 yang beroperasi 24 jam.

“Jika aduan yang ingin disampaikan ialah mengenai kementerian tertentu, boleh terus laporkan kepada kementerian-kementerian yang berkaitan,” katanya lagi.

Ismail Sabri menambah beliau percaya ramai yang akan membantu kerajaan dalam memastikan semua pihak mengutamakan pematuhan SOP.

”Kalau boleh ambil gambar. Kalau ambil video lagi bagus. Lebih terbukti apa yang dilaporkan. Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk sama-sama membantu kerajaan memastikan pematuhan SOP di bawah PKPB,” katanya lagi.

Mengulas mengenai jadual pergerakan rentas negeri dari kampung halaman bermula Khamis hingga Ahad ini, katanya mana-mana individu yang terlepas pada tempoh tarikh yang ditetapkan itu perlu melaporkan atau mendapat kebenaran daripada pihak polis untuk pergerakan mereka.

“Sebelum ini sudah ada yang merentas negeri perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak polis. Selepas daripada tarikh yang ditetapkan itu, bergantung kepada pihak polis untuk membenarkan pergerakan. Kami telah memberi pengecualian selama empat hari itu, jadi seboleh-bolehnya gunakanlah tempoh empat hari itu untuk kembali ke tempat kerja ataupun sebaliknya,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata tidak ada lagi syarat pergerakan dalam radius 10 km sepanjang tempoh berkuatkuasanya PKPB, namun pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata semalam Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia telah menahan 401 individu ingkar PKP, yang merangkumi 331 individu direman dan 70 individu dijamin polis.

Katanya jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP setakat semalam adalah seramai 24,081 individu.

Tambahnya, setakat hari ini, sebanyak 244 pusat kuarantin telah beroperasi di mana 18,218 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib dan semalam seramai 265 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dan telah dikuarantin wajib.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This