Percepatkan audit forensik Pemilihan PKR – Anwar Ibrahim

Percepatkan audit forensik Pemilihan PKR – Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR,. Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta agar laporan siasatan audit forensik Pemilihan PKR 2022 dipercepatkan dan tidak berlarutan bagi membolehkan PKR mempersiapkan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Anwar yang menang tanpa bertanding sebagai presiden bagi penggal 2022 hingga 2025 dalam Pemilihan PKR kali ini menjelaskan, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang diketuai Dr Zaliha Mustafa telah meminta pimpinan pusat supaya diberikan sedikit tempoh tambahan bagi meneliti semua aduan yang diterima pihaknya.

“Kemudian dilakukan juga audit yang teliti oleh syarikat audit yang bebas, kerana sementara sistem dipertahankan tetapi mungkin dikesan beberapa pelanggaran peraturan di bawah. Jika ada persolan, kita kan teliti. Jadi ini kekuatan kita sebagai parti,” katanya menerusi video yang dimuat naik dalam laman Facebooknya, hari ini.

Justeru, beliau berkata, pimpinan pusat yang bersidang minggu lepas telah mengusulkan agar Kongres Nasional Tahunan PKR yang dijadualkan berlangsung pada 24 hingga 26 Jun ini ditangguhkan ke 15 hingga 17 Julai depan bagi membolehkan notis dua minggu diberikan selepas pengumuman muktamad oleh JPP.

Sebelum ini, media melaporkan Dr Zaliha memaklumkan, laporan siasatan audit forensik Pemilihan PKR dijangka dibentangkan kepada JPP, Ahad ini berikutan Pasukan Pakar Digital yang dilantik kini masih dalam proses menyiapkan laporan berkenaan.

Sementara itu, Anwar melihat keputusan pemilihan sebagai mesej jelas PKR memerlukan lonjakan baharu untuk membawa perubahan lebih positif dan parti yang berhasrat membawa perubahan mesti mempunyai dukungan kuat daripada rakyat dan memiliki satu suara dalam memungkinkan reformasi itu.

Antara keputusan tidak rasmi yang dikemas kini melalui laman sesawang Pemilihan Keadilan 2022, Rafizi Ramli mendahului Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi jawatan Timbalan Presiden dengan memperoleh sebanyak 68,451 undi berbanding Saifuddin dengan 48,223 undi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This