Perhimpunan boleh cetus gelombang kedua COVID-19 – PM Thai

Perhimpunan boleh cetus gelombang kedua COVID-19 – PM Thai

Oleh Linda Khoo

BANGKOK,. Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha menggesa kumpulan antikerajaan agar membatalkan rancangan mengadakan perhimpunan hujung minggu ini di Bangkok kerana ia boleh mencetuskan gelombang kedua pandemik COVID-19.

Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, Prayuth berkata perhimpunan besar-besaran itu boleh menimbulkan ‘risiko besar jangkitan baharu’ dan risiko kepada kehidupan jutaan rakyat Thailand.

Beliau menggesa kumpulan antikerajaan itu agar mengetepikan isu politik dan memberi tumpuan untuk menangani pandemik COVID-19 serta pemulihan ekonomi negara.

“Sebarang jangkitan besar akan membawa kepada kesan yang dahsyat dan kemusnahan ekonomi yang lebih teruk. Sila fikirkan perkara ini.

“Biar saya beritahu semua penunjuk perasaan sekarang dengan jelas bahawa saya mendengar rungutan dan masalah politik anda mengenai perlembagaan. Saya hormati pandangan anda. Sekarang isu segera yang perlu diberi perhatian ialah kemusnahan ekonomi oleh COVID-19.

“Janganlah memburukkan lagi keadaan. Protes anda menyebabkan kelewatan pemulihan ekonomi … Marilah kita cuba dan tempuhi krisis global ini serta tewaskan COVID-19 terlebih dahulu bersama-sama dan kemudian kita boleh kembali berpolitik,” katanya.

Setakat ini, Thailand melaporkan 3,490 kes COVID-19 dengan 58 kematian.

Kumpulan antikerajaan merancang mengadakan perhimpunan besar-besaran di Bangkok hujung minggu ini meminta parlimen dibubarkan, menghentikan gangguan terhadap pengkritik pemerintah dan penulisan semula perlembagaan.

Pemimpin protes itu menjangkakan 40,000 akan hadir perhimpunan yang akan bermula di kampus Tha Prachan, Universiti Thammasat di Bangkok pada Sabtu. Kumpulan itu merancang untuk berarak ke Rumah Kerajaan pada Ahad.

Prayuth berkata beliau telah mengarahkan polis agar bertoleransi dan mengelakkan pertempuran pada perhimpunan hujung minggu ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This