Perintah berkurung di ESSZone dilanjutkan hingga 22 Nov

Perintah berkurung di ESSZone dilanjutkan hingga 22 Nov

KOTA KINABALU,. Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir esok akan dilanjutkan hingga 22 Nov ini, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah.

Omar dalam kenyataan hari ini berkata perintah berkurung dari 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Dengan berkuatkuasanya perintah berkurung itu, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di dalam rumah dan orang lain tidak dibenarkan masuk atau berada di kawasan diisytiharkan antara 6 petang hingga 6 pagi pada tarikh dinyatakan, katanya.

“Perintah berkurung diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan para penyelidik menjalankan penyelidikan dan pelancong asing melawat pulau peranginan.

“Perintah berkurung ini juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan mereka yang berada di daratan ESSZone,” katanya.

Omar berkata perintah berkurung itu juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot selain menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

Beliau berkata berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik bagi mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZone untuk mengeluarkan permit kepada pemohon layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This