Perjuangan MA63 untuk kukuhkan jati diri Keluarga Malaysia

Perjuangan MA63 untuk kukuhkan jati diri Keluarga Malaysia

KUCHING,. Perjuangan rakyat Sarawak untuk mendapatkan kembali hak-haknya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 yang terhakis selama ini bukanlah semata-mata untuk kepentingan negeri mereka.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, berkata perjuangan ini menetapkan hala tuju yang lebih besar, dengan hasrat untuk memperkukuhkan lagi jati diri rakyat negeri itu sebagai sebahagian dari Keluarga Malaysia.

“Kami di Sarawak percaya sebagai sebahagian dari Keluarga Malaysia yang dihasratkan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), akan semakin difahami oleh ahli keluarga kita di negeri-negeri lain di Malaysia, dalam memperjuangkan hak-hak sebagai ahli Keluarga Malaysia ini dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Berucap di Majlis Pelancaran Keluarga Malaysia yang disempurnakan oleh Ismail Sabri di sini malam ini, Abang Johari berkata persetujuan Perdana Menteri untuk meminda Perlembagaan Persekutuan adalah supaya ia selari dengan semangat MA63 dan keistimewaan Sarawak dan Sabah.

“(Ini) adalah suatu permulaan yang amat baik untuk mendengar dan menimbangkan permintaan-permintaan ahli keluarga Malaysia kita dari Sarawak dan Sabah,” katanya.

Abang Johari berkata Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan pelbagai program pembangunan di Sarawak, termasuk projek Lebuhraya Pan Borneo, namun apa yang telah terlaksana mungkin belum mencukupi untuk memastikan Sarawak boleh mengejar tahap pembangunan seperti di Semenanjung.

“Sebagai Ketua Kerajaan Sarawak, saya melihat bahawa kaedah yang berbeza haruslah direncanakan untuk mengangkat status ekonomi di Sarawak, kerana fundamental ekonomi negeri ini agak berbeza daripada di Semenanjung,” katanya.

Beliau berharap berharap pendekatan Keluarga Malaysia ini dapat melihat perbezaan-perbezaan yang ada dan merancangkan dasar-dasar pembangunan yang sesuai dengan keadaan di Sarawak mahupun Sabah, supaya wilayah-wilayah ini lebih cepat maju mengikut jejak langkah Semenanjung.

“Saya menganggap (konsep Keluarga Malaysia) ini suatu hasrat ikhlas Perdana Menteri untuk melihat semua rakyat Malaysia terus bersatu sebagai sebuah keluarga yang besar, demi kemajuan negara dan sebagai senjata ampuh dalam mendepani cabaran-cabaran pada masa kini dan masa hadapan,” tambahnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )