Perkasa persefahaman, perpaduan demi kepentingan bersama – KM Sabah

Perkasa persefahaman, perpaduan demi kepentingan bersama – KM Sabah

KOTA KINABALU,. Rakyat khususnya di Sabah digesa untuk terus memperkasakan persefahaman dan perpaduan, demi kepentingan bersama, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Katanya, konsep taaruf (saling berkenalan) dalam kemajmukan, dengan mengikis prasangka dan salah faham serta saling menerima antara satu sama lain, mampu melahirkan masyarakat bernegara yang bersatu padu.
“Perutusan Rasulullah sebagai pembawa rahmat untuk sekalian alam merentasi ras, etnik, mahupun agama. Kejayaan Rasulullah dalam mengukuhkan dua sisi perpaduan iaitu dimensi sesama umat Islam, dan pelbagai kabilah adalah model terbaik, dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

“Teras utama kepada kejayaan Baginda adalah kejayaan mempromosi dan melaksana prinsip penerimaan, kenegaraan, dan keadilan sosial, sehingga berupaya menyusun serta mengatur landskap kehidupan, yakni perpaduan dalam kepelbagaian,” katanya pada perasmian Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat kebangsaan 1441H/2020M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini, pada Ahad.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.

Majlis perasmian disempurnakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu turut dihadiri isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof; Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Moktar; serta beberapa menteri kabinet negeri dan pegawai kanan kerajaan.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, rakyat juga perlu berusaha mencari titik persamaan dan mengecilkan perbezaan, selain sentiasa bertoleransi serta menerapkan konsep penerimaan bagi terus memperkukuh perpaduan sedia ada, yang menjadi nadi kekuatan transformasi negeri dan negara.

“Dalam mendepani cabaran global, kestabilan politik, kemantapan ekonomi dan pembangunan modal insan, harus menjadi agenda transformasi utama, serta indikator kepada sebuah negara maju yang seimbang.

“Ia selari dengan kehendak maqasid syariah, yang bersifat sejagat berteraskan maslahah, keadilan dan berhikmah, serta mempunyai tujuan jelas,” katanya, dan menambah kesejahteraan sesebuah negara, menuntut integrasi, keikhlasan dan komitmen semua pihak bagi memastikan semangat perpaduan dan kesefahaman terus segar dan mekar.

Mohd Shafie berkata pembangunan modal insan harus menjadi keutamaan dan penentu sebenar, di sebalik kemajuan ekonomi serta sosial, dan untuk menghasilkan modal insan terbaik, penghayatan intipati Al-Quran dan Sunnah haruslah menjadi pedoman berpanjangan.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata kerajaan Sabah terus bertekad, untuk menguruskan sumber kekayaan negeri, sekali gus berkhidmat dengan penuh amanah dan bertanggungjawab.

Barisan kepimpinan kerajaan Sabah juga komited, selain tidak akan sekali-kali mengkhianati amanah diberikan, malah menggesa rakyat negeri ini untuk turut bersama berganding bahu, dalam memberdayakan dan memakmurkan hasil kekayaan Sabah, katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )