PERKESO lancar Ops Kesan ke-15

PERKESO lancar Ops Kesan ke-15

KUALA LUMPUR,. Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melancarkan Operasi Pengesanan Majikan (Ops Kesan) Peringkat Kebangsaan 2024 secara serentak melibatkan 54 pejabat PERKESO di seluruh negara, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata Ops Kesan Ke-15 itu dilaksanakan selepas Bulan Pemutihan yang memberi peluang kepada majikan untuk mendaftar dan mencarum pekerja tanpa dikenakan sebarang penalti, tamat pada 30 Jun lepas.

Beliau berkata sebanyak 15,540 majikan, selain 262,011 pekerja baharu yang layak mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) berdaftar dengan PERKESO.

“Mengikut jumlah pekerja baharu yang didaftarkan, 90,068 daripadanya adalah pekerja tempatan, manakala 171,943 lagi ialah pekerja asing.

“Perangkaan ini merekodkan peningkatan 30.5 peratus bagi jumlah majikan dan 32.6 peratus untuk jumlah pekerja berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Ops Kesan Peringkat Kebangsaan 2024 di Bangi, semalam.

Beliau berkata menerusi Ops Kesan Ke-15 melibatkan 1,000 anggota di seluruh negara, semua majikan yang mengajikan sekurang-kurangnya seorang pekerja, tanpa mengira jumlah gaji, perlu mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka, sebagaimana peruntukan Seksyen 4 dan 5 (Akta 4), serta Seksyen 14 dan 16 (Akta 800).

Sepanjang pelaksanaan Ops Kesan sejak 2009 hingga Jun 2024, sebanyak 22,251 notis kompaun dengan nilai berjumlah RM17 juta dikeluarkan kepada majikan yang gagal mendaftar perusahaan dan pekerja, manakala 24,500 kes sudah didakwa atas pelbagai kesalahan.

Setakat 6 petang semalam, sebanyak 4,408 lawatan pemeriksaan ke atas premis dilaksanakan menerusi Ops Kesan Ke-15 yang menyaksikan pengeluaran notis kompaun berjumlah 791 di bawah Akta 4 dan Akta 800 dengan kumulatif kompaun bagi kedua-dua Akta adalah sebanyak RM654,500.

Berdasarkan perangkaan ini juga mendapati 18 peratus majikan gagal mematuhi undang-undang di bawah Akta 4 dan Akta 800.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This