PERKESO salur RM90.45 juta bantuan kehilangan pekerjaan

PERKESO salur RM90.45 juta bantuan kehilangan pekerjaan

JASIN,. Pertubuhan Kese-lamatan Sosial (PERKESO) menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM90.45 juta menerusi Sistem Insu-rans Pekerja (SIP) sejak awal Januari 2021 sehingga 16 Mac lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, bayaran tersebut melibatkan 18,074 pekerja yang kehilangan pekerjaan di seluruh Malaysia yang dilaporkan kepada pertubuhan itu.

Beliau berkata, pada tahun lepas sahaja sebanyak 107,024 kes kehilangan pekerjaan dilaporkan memohon skim yang sama melibatkan bantuan kewangan sebanyak RM364.63 juta.

“Selain itu, kerajaan juga menyediakan bantuan tambahan melalui Program SIP Plus bagi mereka yang masih tidak mendapat pekerjaan selepas tempoh enam bulan skim tersebut.

“Ini menerusi peruntukan bantuan tiga bulan tambahan oleh kerajaan bagi pembiayaan tersebut untuk membantu mereka yang berlarutan tidak mendapat pekerjaan baharu selepas tempoh tersebut,” katanya kepada pemberita selepas program Mini Karnival Kerjaya 2021 di sini semalam.

Majlis perasmian karnival itu disempurnakan Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Ismail Othman dan turut dihadiri Pengarah PERKESO negeri, Abd Razak Omar.

Mohammed Azman berkata, sebanyak 55,811 majikan di seluruh negara telah mendaftar dalam platform MYfutureJobs yang menawarkan peluang pekerjaan baharu kepada pencari pekerjaan.

Beliau berkata, menerusi portal pekerjaaan negara yang dikendalikan PERKESO itu, seramai 653,304 orang direkodkan mencari pekerjaan sehingga Disember lepas dengan jumlah berjaya mendapat pekerjaan seramai 196,403 orang.

“Di samping itu, kita juga mahu menggalakkan para usahawan dan pekerja wanita yang bekerja sendiri supaya mengambil peluang mendaftar menerusi insentif perlindungan sosial dalam Program Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dengan RM10 juta diperuntukkan bagi tujuan itu.

“Kerajaan akan membayar 70 peratus daripada caruman setahun Pelan 2 Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri ( SKSPS) iaitu sebanyak RM163 manakala mereka hanya perlu membayar RM69.80 iaitu 30 peratus daripada caruman,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )