Perketat SOP atau tutup sekolah kuasa MKN dan KKM

IPOH,. Sebarang keputusan mengenai penutupan atau memperketat prosedur operasi standard (SOP) untuk murid sekolah di negeri Kedah terletak di bawah kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Dr Mah Hang Soon berkata agensi dan kementerian terbabit lebih mengetahui tindakan yang terbaik untuk dilakukan.

“Perkara ini perlu dipastikan oleh KKM dan maklumat serta nasihat akan dikeluarkan oleh kementerian terbabit.

“KKM amat prihatin tentang perkara ini dan mereka akan lakukan yang terbaik waktu yang tercepat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Reverend William Edward Horley dan Grace Towers di Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist Ipoh di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai permintaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang mahu kerajaan memperketatkan SOP murid sekolah di Kedah berikutan penularan COVID-19 di negeri itu.

Kelmarin, KKM memaklumkan Malaysia kini berada dalam keadaan meruncing dengan kes baharu kembali melonjak angka tiga digit iaitu 182, tertinggi sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan Jun 2020.

Susulan daripada peningkatan kes positif COVID-19 dalam Kluster Sungai dan Kluster Telaga, kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di 28 mukim di Kota Setar, Kedah mulai 12.01 tengah malam Khamis (10 Sept) sehingga 25 Sept depan.

Terdahulu pada majlis semalam, Dr Mah menzahirkan terima kasih kepada pihak yang sudi menyumbang bagi pembinaan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist Ipoh yang menelan belanja sebanyak RM1.8 juta.

Beliau turut menyatakan kesediaan kerajaan untuk membantu mana-mana sekolah yang memerlukan demi kepentingan pembelajaran murid-murid di negara ini. — Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )