Perkhidmatan awan dan keselamatan siber bolehkan kerajaan perluaskan perkhidmatan pintar

Perkhidmatan awan dan keselamatan siber bolehkan kerajaan perluaskan perkhidmatan pintar

CYBERJAYA,. Perkhidmatan Awan dan Keselamatan Siber untuk kerajaan Malaysia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,. hari ini, dijangka membolehkan sektor kerajaan memperluaskan perkhidmatan pintar baharu dengan segera di pelbagai agensi dengan kos pelaksanaan lebih rendah.

Perkhidmatan berkenaan akan menyediakan keupayaan yang lengkap merangkumi perkhidmatan awan secara menyeluruh termasuk infrastruktur-sebagai-perkhidmatan, platform-sebagai-perkhidmatan, perisian-sebagai-perkhidmatan, perkhidmatan profesional awan serta perkhidmatan awan terurus bagi kerajaan.

Majlis yang diadakan di Pusat Data Teras Lembah Klang TM ONE (KVDC) di sini, turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Pada majlis itu, perdana menteri telah menyaksikan pemeteraian perjanjian antara Telekom Malaysia Bhd (TM) dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia dan Cloud Connect Sdn Bhd untuk Panel Pengkomputeran Awan Berpusat TM serta Penyedia Perkhidmatan Terurus TM.

Muhyiddin juga menyerahkan surat lantikan TM sebagai Penyedia Perkhidmatan Awan bagi kerajaan kepada Pengerusi TM, Tan Sri Mohd Bakke Salleh sebelum dibawa melawat ke KVDC yang mempamerkan ekosistem Awan dan Keselamatan Siber TM ONE.

Mengenai perkhidmatan yang dilancar hari ini, Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Imri Mokhtar berkata syarikat telekomunikasi itu bersedia untuk mempercepatkan penerimaan digital sektor awam dengan himpunan penyelesaian yang komprehensif merangkumi awan, pusat data dan keselamatan siber menerusi perkhidmatan itu.

“Kami yakin dengan kemampuan teknikal dan kepakaran tempatan TM yang setanding dengan kepakaran antarabangsa, TM dapat menyediakan penyelesaian terbaik untuk kerajaan selaras dengan pelan transformasi digital kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran perkhidmatan berkenaan.

Menurutnya, inisiatif ini juga dapat mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan memacu penerimaan digital di seluruh negara.

Ditanya mengenai tempoh permulaan dan pelaksanaan perkhidmatan itu, Imri berkata ianya bergantung kepada pelan yang diumumkan kerajaan dan TM bersedia untuk melaksanakan inisiatif itu pada bila-bila masa.

Mengenai jaminan keselamatan siber negara pula, beliau berkata TM bekerjasama dengan 300 jurutera terlatih dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta CyberSecurity Malaysia.

Beliau turut menambah syarikat telekomunikasi itu akan membuat pelaburan untuk pusat data di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti, termasuk Cyberjaya dalam masa yang terdekat.

Pada masa ini, katanya TM mempunyai lapan pusat data di Malaysia dan satu di Hong Kong, dengan dua daripadanya mendapat penarafan Tier III yang menawarkan perkhidmatan awan bertaraf dunia.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This