
Perkhidmatan bas di Sarawak beroperasi semula 10 Jun ini
KUCHING,. Semua perkhidmatan bas di Sarawak akan beroperasi semula pada 10 Jun dan mesti mematuhi peraturan dan garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata Menteri Pengangkutan negeri, Datuk Lee Kim Shin.
Kelulusan itu hanya diberikan kepada perkhidmatan bas antara daerah atau antara bahagian dan tidak termasuk perkhidmatan rentas sempadan antarabangsa, katanya.
“Pengusaha bas yang bergerak dan beroperasi di semua daerah di Sarawak tidak perlu mendapatkan izin daripada polis tetapi orang ramai yang ingin melakukan perjalanan melintasi sempadan daerah (menggunakan bas) perlu meminta kebenaran daripada polis terlebih dahulu.
“Di setiap hentian rehat yang ditentukan, pemandu bas mesti mensanitasikan bas dengan semburan aerosol sebelum membenarkan penumpang menaiki bas. Pemandu bas juga mesti memastikan setiap penumpang yang menaiki bas di hentian menunjukkan surat kebenaran polis sebelum menaiki bas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Kata beliau, semua pengusaha bas mesti memaklumkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri pada tarikh mereka beroperasi semula dan menyiarkan jadual serta laluan mereka melalui laman sesawang masing-masing dan media sosial.
— BERNAMA