Perkhidmatan kaunter agensi kerajaan di Pahang kembali beroperasi Khamis

Perkhidmatan kaunter agensi kerajaan di Pahang kembali beroperasi Khamis

KUANTAN,. Semua perkhidmatan kaunter jabatan dan agensi kerajaan negeri serta Persekutuan di Pahang dibenarkan beroperasi semula mulai Khamis selepas dihentikan sementara sejak 2 Feb lepas.

Pembukaan semula perkhidmatan kaunter itu dibuat empat hari lebih awal daripada yang dijadualkan namun tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang wajib dipatuhi agensi kerajaan negeri manakala agensi kerajaan Persekutuan digalakkan mengamalkannya.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata SOP itu menetapkan waktu operasi kaunter bermula pada 8 pagi hingga 8 malam dengan tiga syif bertugas secara bergilir selain kerja sanitasi perlu dilakukan selama 30 minit sebelum sesuatu syif bermula.

“Tempoh bertugas setiap petugas kaunter ialah selama empat jam di kaunter dan enam jam sehari di pejabat. Agensi terlibat juga perlu memastikan kaunter mempunyai tirai kaca bagi tujuan penjarakan fizikal dengan pelanggan.

“Selain itu, hanya satu pelanggan dibenarkan berurusan di kaunter pada satu-satu masa dan agensi juga berhak tidak melayan mereka yang tidak mematuhi SOP ditetapkan,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 1 Feb lepas, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang memutuskan bahawa semua urusan kaunter perkhidmatan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan di Pahang dihentikan mulai 2 hingga 14 Feb ekoran penularan kluster baharu COVID-19 di pejabat termasuk Kluster Tanah Putih yang melibatkan kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

Wan Rosdy memaklumkan pelanggan juga perlu mematuhi SOP ditetapkan sebelum berurusan di kaunter seperti melepasi saringan suhu, menggunakan aplikasi MySejahtera, mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka sepanjang masa serta menggunakan cecair basmi kuman sebelum dan selepas berurusan.

“Mereka yang bergejala tidak dibenarkan hadir ke pejabat kerajaan selain pelanggan warga emas boleh membawa seorang pengiring bukan warga emas bagi membantu mereka berurusan kerana golongan ini tidak digalakkan ke kaunter,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This