Permaisuri Agong berkenan buat demonstrasi masakan cucur durian

PUTRAJAYA, 31 Ogos (Bernama) — Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan mencemar duli berangkat ke Floria Diraja Putrajaya 2019 bagi membuat demonstrasi masakan cucur durian Musang King.

Keberangkatan tiba baginda disambut Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim dan isteri Datin Murni Muda.

Tunku Azizah yang umum ketahui sebagai peminat dunia masakan kelihatan gembira melihat rakyat jelata mengerumuni kawasan demonstrasi masakan yang terletak di tapak buahan-buahan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk melihat baginda memasak.

Sambil memasak, Raja Permaisuri Agong juga tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra dan bergurau senda dengan rakyat yang hadir.

Baginda juga berkenan untuk berkongsi beberapa petua bagi mendapatkan cucur durian yang gebu serta enak termasuk meratakan adunan menggunakan alat pengadun selain menggunakan gula kasar bagi mengelak cucur menjadi terlalu berair.

Tunku Azizah kemudian menjemput rakyat jelata dan pengunjung Floria Diraja Putrajaya untuk merasa keenakan cucur durian air tangan baginda yang dibuat menggunakan resepi bondanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This