Permohonan PBM dibincang dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN – Mohamad Hasan

Permohonan PBM dibincang dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN – Mohamad Hasan

SEREMBAN,. Keputusan permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk menyertai Barisan Nasional (BN) dibincangkan pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN pertengahan bulan ini, kata Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad berkata beliau ada menerima kunjungan bakal Presiden PBM Datuk Zuraida Kamaruddin di pejabatnya pada bulan lepas yang menyatakan hasrat PBM untuk menyertai BN, namun perkara itu memerlukan persetujuan bersama oleh parti komponen lain.

“Saya ada bertemu dengan Datuk Zuraida di pejabat saya bulan lepas yang menyatakan hasrat parti PBM menyertai BN. Saya telah menyatakan kepada beliau, BN bukan diputuskan oleh seorang sahaja, tetapi keputusannya mesti dibuat secara konsensus.

“Semua pihak dan parti komponen dalam BN bersetuju, baru boleh. Kalau ada satu pihak atau parti tidak bersetuju, ia tidak akan dilakukan. Saya telah minta beliau menulis surat kepada Pengerusi BN berkenaan perkara itu untuk dipertimbangkan dalam mesyuarat BN nanti,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang bermula hari ini sehingga Khamis.

Sementara itu Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata selain PBM, terdapat juga beberapa parti lain turut menyatakan hasrat untuk menyertai BN.

“Dari semasa ke semasa, ada parti yang ditubuhkan menyatakan hasrat untuk menganggotai BN, tetapi kebanyakannya kami minta untuk menjadi rakan BN terlebih dahulu. Kebanyakan parti ini tiada wakil rakyat dan ahli Parlimen, tetapi PBM ini lain sedikit kerana mereka mempunyai wakil rakyat.

“Pertimbangan daripada pelbagai sudut mesti diperhalusi dan kami juga tidak mahu ada pihak lain rasa tidak senang hati jika kami menerima sesuatu parti masuk menjadi anggota BN. Jadi, ia akan dibahas dan dibincang dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This