Perniagaan Asia Tenggara perlu penyelesaian keselamatan siber komprehensif – Kaspersky

Perniagaan Asia Tenggara perlu penyelesaian keselamatan siber komprehensif – Kaspersky

KUALA LUMPUR: Asia Tenggara kekal sebagai ekonomi digital yang mencatat pertumbuhan terpantas di Asia Pasifik dan memerlukan penyelesaian keselamatan siber serba komprehensif serta tenaga kerja bersesuaian.

Pengurus Besar Kaspersky bagi Asia Tenggara Yeo Siang Tiong berkata kerajaan di negara-negara terbabit juga telah mengambil langkah berani menyokong usaha pendigitalan tempatan dan meningkatkan perlindungan data serta kemampuan keselamatan siber masing-masing.

Namun, katanya, keperluan sewajarnya dengan penyelesaian menyeluruh itu amat penting memandangkan perniagaan tempatan di rantau ini dalam proses melaksanakan transformasi digital.

“Pihak kami misalnya sentiasa aktif bekerjasama dengan universiti-universiti tempatan dari segi latihan serta bengkel untuk meningkatkan kemahiran penuntut dan memastikan kurikulum mereka menepati permintaan industri.

“Bagaimanapun, ini memakan masa bertahun-tahun lamanya sebelum penuntut ini dapat menjadi profesional keselamatan siber,” katanya dalam satu kenyataan. Sehubungan itu, Yeo berkata adalah penting untuk melibatkan penyedia perkhidmatan keselamatan terurus (MSSP) berwibawa yang dapat memastikan perusahaan mempunyai pekerja dan penyelesaian serba cekap.

“Adalah berkesan untuk melakukan penyumberan luar jika rakan niaga anda terlibat dengan sebuah syarikat keselamatan siber yang terbukti berkesan dari segi pengesanan ancaman, respons serta ancaman risikan,” katanya.

Selain itu, menurut Laporan Ekonomi Keselamatan IT Kaspersky terkini, perniagaan di rantau ini bertindak menyumber luar fungsi keselamatan kepada MSSP, terutama bagi meraih kecekapan dalam penyampaian penyelesaian keselamatan, menangani kekurangan pekerja dan memenuhi keperluan bagi kepakaran keselamatan yang khusus.

Penyedia keselamatan siber dan privasi digital global itu berkata laporan tersebut meliputi 26 negara di serata pasaran dan syarikat perniagaan-kepada-perniagaan utama Kaspersky dalam pelbagai saiz daripada perusahaan kecil dan sederhana dengan jumlah pekerja seramai 50 orang sehinggalah firma besar.

Kalangan pakar turut mengunjurkan pertumbuhan MSSP yang kukuh di Asia Tenggara dan pada tahun-tahun akan datang susulan daripada pelbagai usaha bersama rantau tersebut ke arah inisiatif transformasi digital di peringkat negara.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This