Perompak bersenjata curi tisu tandas akibat pembelian panik di Hong Kong

Perompak bersenjata curi tisu tandas akibat pembelian panik di Hong Kong

HONG KONG,. Perompak bersenjata yang mencuri ratusan tisu tandas akibat pembelian panik sedang diburu polis Hong Kong.

Tisu tandas menjadi barangan ‘panas’ di hab perniagaan walaupun jaminan kerajaan bahawa bekalan kekal tidak terjejas kesan penularan wabak coronavirus (COVID-19).

Pihak pasar raya gagal menambah stok dengan segera menyebabkan tisu tandas menjadi tumpuan pembeli dan cepat habis setiap kali stok ditambah.

Selain tisu tandas, terdapat sebilangan besar bahan makanan seperti beras dan pasta serta bahan sanitari dan pembersihan lain yang juga berdepan isu kekurangan stok.

Polis berkata, pemandu trak ditahan tiga lelaki di luar sebuah pasar raya di Mong Kok.

“Penghantar barang itu diugut tiga lelaki menggunakan pisau sebelum merampas tisu tandas bernilai lebih HK$1,000 (RM532.53),” kata seorang jurucakap polis kepada AFP.

Rakaman daripada Now TV menunjukkan penyiasat polis dikelilingi bungkusan tisu tandas di luar Pasaraya Wellcome.

Keadaan panik yang melanda Hong Kong sejak wabak coronavirus tersebar di tanah besar China sebahagiannya didorong sejarah akibat Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Pada 2003, 299 rakyat Hong Kong meninggal dunia akibat SARS, wabak yang bermula di tanah besar China.

Pihak berkuasa menyalahkan khabar angin dalam talian yang mencetuskan pembelian panik dan berkata bekalan makanan dan barangan isi rumah tetap stabil. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This