Persekutuan-Sarawak bekerjasama rapat atasi isu capaian internet – Saifuddin

Persekutuan-Sarawak bekerjasama rapat atasi isu capaian internet – Saifuddin

SIBU,. Kerajaan persekutuan mempunyai kerjasama yang rapat dengan kerajaan Sarawak berhubung isu capaian Internet di negeri itu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata kementeriannya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengadakan perbincangan awal dengan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) bagi mengatasi masalah capaian Internet yang termasuk dalam pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“Kita akan lipat gandakan usaha untuk memastikan tidak ada kumpulan masyarakat yang terpinggir dari segi capaian Internet ini. Kunci utama sekarang ini, kita sudah ada kerjasama yang rapat dengan kerajaan negeri… itu yang penting.

“Sebagai contoh, ada wakil dari Sarawak yang menjadi anggota SKMM dan ada juga wakil dari SKMM yang menjadi anggota Lembaga Pengarah SMA,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Merdeka@Komuniti di Rh. Akat Ak Akong di Penasu, di sini hari ini.

JENDELA akan mempertingkat jaringan Internet di seluruh negara, khususnya di kawasan luar bandar, dan kini memasuki fasa untuk mempercepatkan lagi peningkatan jaringan daripada 2G dan 3G kepada 4G, manakala fasa kedua adalah untuk melaksanakan rangkaian 5G.

Mengenai program Merdeka@Komuniti, Saifuddin berkata program bertujuan memberi kesedaran kepada rakyat mengenai sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020 dengan menggelorakan semangat patriotik dan cintakan negara melalui program di peringkat akar umbi seperti yang dilakukan di sini.

“Program ini kita jalankan dari 16 Julai yang lalu hingga 16 Sept dan pengisiannya ialah ceramah, ucapan, forum serta penyerahan bendera Jalur Gemilang dan program dianjurkan di setiap kawasan parlimen di seluruh negara melibatkan 696 program keseluruhan.

“Kita berharap penganjuran pelbagai aktiviti di bawah Merdeka@Komuniti ini dapat meningkatkan rasa sayang kepada negara,” katanya.

Sambutan Hari Malaysia 2020 akan berlangsung esok di Stadium Tertutup Sibu yang akan dihadiri Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta barisan menteri-menteri kabinet.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This