Persembahan teater, acara langsung di P. Pinang sedia untuk dibuka semula

Persembahan teater, acara langsung di P. Pinang sedia untuk dibuka semula

GEORGE TOWN,. Persembahan teater dan acara langsung (live) tertutup di Pulau Pinang kini sudah bersedia untuk pembukaan semula, dan hanya menunggu arahan selanjutnya daripada kerajaan negeri dan pusat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri Yeoh Soon Hin dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu susulan pengumuman kerajaan Persekutuan yang membenarkan pembukaan semula pawagam dan industri berkaitan bermula 1 Julai.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan teater dan acara secara langsung tertutup masih belum diumumkan.

“Saya telah menghubungi Majlis Keselamatan Nasional (MKN) mengenai isu ini. Oleh itu, saya menggesa semua pemain industri untuk kekal tenang dan menunggu pengumuman selanjutnya daripada kerajaan Persekutuan dan negeri,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri telah menyediakan SOP bagi pembukaan semula teater dan acara secara langsung sementara menunggu pengumuman kerajaan Persekutuan.

“Kita akan menunggu SOP berkaitan daripada kerajaan Persekutuan dan mengubahnya mengikut versi kita sendiri jika perlu dan menyesuaikannya dengan mengambil kira aspek tempatan. Kita akan pastikan SOP Pulau Pinang mengikut SOP kerajaan Persekutuan,” jelasnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This