Pertahanan Bayern rapuh dan perlu diperkukuh: Flick
LISBON, Portugal,. Jurulatih Bayern Munich, Hansi Flick berkata pasukannya perlu memperkuatkan benteng pertahanan apabila menentang Paris Saint Germain (PSG) di final Liga Juara-Juara Ahad ini selepas beberapa detik cemas walaupun menewaskan Lyon 3-0 pada perlawanan separuh akhir pada Rabu.
Bayern memulakan permainan dengan hambar di Lisbon dengan rembatan kapten Lyon, Memphis Depay sedikit tersasar dan satu cubaan Karl Ekambi terkena palang sebelum pemain sayap Bayern, Serge Gnabry mengurangkan tekanan Bayern dengan menjaringkan dua gol dalam separuh masa pertama.
Robert Lewandowski menjaringkan gol ketiga, dua minit sebelum tamat permainan ketika Bayern meraih kemenangan ke-10 berturut-turut di Eropah.
“Lyon bersaing sengit dan menyukarkan kami. Kami tahu PSG mempunyai pemain yang pantas dan kami harus menyusun strategi di benteng pertahanan dengan cara yang berbeza,” kata Flick.
“PSG adalah pasukan yang hebat, mereka berusaha gigih untuk ke separuh akhir dan kemudian ke final.
“Kami tahu mereka memiliki pemain yang pantas, tetapi kami tahu kekuatan terbesar kami ialah memberikan tekanan ke atas lawan.”
Selepas sudah menjulang trofi kejuaraan Bundesliga Jerman dan Piala Jerman musim ini, kapten Bayern, Manuel Neuer kini memburu peluang untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara.
Kemenangan ke atas PSG akan mengesahkan kejuaraan ‘treble’ kedua dalam sejarah Bayern selepas melakukannya buat kali pertama pada 2013.
Neuer menjangkakan malam yang sibuk ketika berdepan jentera serangan berbisa PSG – Neymar, Kylian Mbappe dan Angel di Maria.
“PSG mempunyai barisan jentera dengan nama besar. Sentiasa ada banyak gol melibatkan Bayern dan PSG,” kata Neuer, yang juga penjaga gol kebangsaan Jerman.
“Dua pasukan hebat di final, ia pastinya menarik untuk peminat. Kami berasa sangat gembira untuk melangkah ke final.”
Bagi pemain remaja dari Kanada, Alphonso Davies, melangkah ke final Liga Juara-Juara pada usia 19 tahun adalah “impian menjadi kenyataan.”
Selepas membantu membelasah Barcelona 8-2 pada perlawanan separuh akhir, Davies berasa gembira untuk berdepan PSG dan Neymar, pemain termahal dunia.
“Ia segala-galanya yang anda harapkan,” kata Davies.
“Saya berasa gembira, semua orang berasa gembira dan bermain dengan baik.”
Davies berkata rakan-rakan sepasukannya “secara asas memenangi segala-galanya, tetapi mereka masih laparkan kejayaan. Mereka masih mahu memenangi kejohanan ini.” — AFP