Pertandingan seni bina Arkitek AIR umum tujuh juri berwibawa

Pertandingan seni bina Arkitek AIR umum tujuh juri berwibawa

KOTA SAMARAHAN,. Pertandingan seni bina Arkitek AIR, sebuah pembangunan hartanah moden yang mengekalkan keindahan semula jadi milik Hock Seng Lee (HSL) telah memperkenalkan tujuh muka berwibawa dalam industri pembinaan sebagai panel juri hari ini.

Pengarah Hartanah HSL Yu Ji berkata demikian sambil menambah bahawa pihaknya begitu teruja untuk meneliti dan melihat pelan induk bagi pembangunan yang bakal dilaksanakan pihaknya nanti.

“Pada asasnya kami hanya mahu mencari pelan induk yang terbaik. Penggunaan terbaik untuk tanah ini. Kemudian kami membuat keputusan dan melancarkannya,” katanya pada sidang media Pertandingan Arkitek AIR di Menara HSL hari ini.

Mereka yang akan mengadili ialah Presiden Institut Arkitek Malaysia (PAM) Adrianta Aziz, arkitek terulung Sarawak Chai Long Sen, Pemenang Pingat Emas PAM Dato Ar Hajeedar Abdul Majid dan salah seorang pemenang pelbagai anugerah PAM termuda Ar Tan Bee Eu, pakar Indeks Bangunan Hijau yang terkenal Ar David Ong, dan dua Pengarah HSL Tony Yu dan Yu Ji.

Pemandangan dari atas lokasi tapak pembangunan AIR di Kuching.

Tambah Yu Ji, proses penghakiman reka bentuk akan dijalankan secara adil dan saksama serta tiada unsur pilih kasih kepada mereka yang mengambil bahagian oleh Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) dan HSL.

Penghakiman pertandingan pembangunan hartanah dalam kawasan berkeluasan 13 ekar di antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dan Saradise itu akan dijalankan dalam dua peringkat.

Ujar beliau lagi, juri akan menilai penyertaan berdasarkan Konsep Perancangan dan Idea (dengan markah 50 peratus), Inovasi Reka Bentuk (30 peratus) dan Kemampanan (20 peratus).

“Titik permulaannya adalah idea. Kerana jika tidak kita hanya akan membina sesuatu yang biasa. Saya mahu ia menjadi sedikit berbeza, saya mahu ia menjadi lebih baik,” tambahnya.

HSL tertumpu pada pembangunan kediaman tetapi mahu melihat cadangan lain juga daripada peserta untuk pembinaan yang boleh dijalankan secara berperingkat-peringkat.

Peserta yang berminat boleh mendaftar yuran sebanyak RM378 dan boleh memuat turun kit pertandingan daripada airkch.com.

Reka bentuk pembangunan AIR perlu mengambil kira kelestarian alam semula jadi seperti sungai dan flora dalam tapak berkenaan.

Keputusan pertandingan akan diumumkan menjelang penghujung tahun ini.

Untuk maklumat lanjut, layari airkch.com, hsl.com.my atau cari #airkch di media sosial.

CATEGORIES
TAGS
Share This