Pertukaran lokasi pusat peperiksaan: 81 calon selamat duduki UPSR

JASIN,. Pertukaran lokasi pusat peperiksaan pada saat akhir tidak menghalang 81 calon dari dua sekolah di Merlimau untuk menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mahkota, pagi ini.

Seramai 75 calon dari Sekolah Kebangsaan (SK) Serkam Darat dan enam lagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Serkam selamat mengambil kertas peperiksaan Bahasa Melayu – Pemahaman pada jam 8.20 pagi tadi.

Mereka terpaksa bertukar ke pusat peperiksaan itu susulan insiden kebocoran gas ammonia di sebuah kilang pemprosesan ayam di Merlimau, semalam, yang menyebabkan SK Paya Redan, SK Serkam Darat dan SJKT Ladang Serkam diarahkan tutup, hari ini.

Pengarah Pendidikan Melaka, Datuk Abu Bakar Sahari, berkata semua calon dari SK Serkam Darat dan SJKT Ladang Serkam hadir menduduki peperiksaan itu seperti yang dijadualkan.

Beliau berkata, walaupun keputusan pemindahan itu dibuat malam tadi, persiapan peperiksaan berjalan lancar dan mendapat kerjasama baik daripada ibu bapa.

“Semua calon terbabit dapat menduduki kertas peperiksaan seperti dijadualkan walaupun lewat lima minit berbanding waktu sebenar.

“Seorang calon terpaksa dikuarantin kerana menghidap demam campak. Langkah ini dibuat bagi mengelakkan ia dijangkiti murid lain,” katanya kepada pemberita di SMK Seri Mahkota, di sini, hari ini.

Mengenai pusat peperiksaan di SK Paya Dalam yang menumpangkan 20 calon dari SK Paya Redan pula, Abu Bakar berkata, semua murid terbabit juga berada dalam keadaan baik dan peperiksaan berjalan lancar.

Seorang bapa, Jefri Abu Bakar, 40, berkata beliau bersama isteri, Zainab Bidin, 39, terpaksa menunggu di SMK Seri Mahkota bagi memantau keselamatan anak mereka, Wardina Syazwana, 12, yang menduduki peperiksaan pada pagi ini.

“Sebagai ibu bapa, kami turut risaukan keselamatan anak berikutan lokasi sekolah ini terletak kira-kira 15 minit dan agak jauh dari SK Serkam Darat yang terletak berdekatan kawasan perumahan kami di Taman Serkam Ria,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Peperiksaan yang juga guru SK Serkam Darat, Suhaila Ishak, berkata fungsi kumpulan WhatsApp membantu penyebaran maklumat kepada ibu bapa susulan pertukaran pusat peperiksaan pada saat akhir.

“Sebaik saja maklumat pemindahan dikeluarkan, semua guru kelas memainkan peranan menghantar mesej ke dalam kumpulan WhatsApp rasmi sekolah, taman perumahan dan kampung bagi memastikan ibu bapa maklum pertukaran lokasi pusat peperiksaan.

“Setakat ini, tidak ada sebarang masalah, termasuk ada murid yang menetap di Cheng sejauh kira-kira 40 minit dari lokasi pusat peperiksaan juga berjaya hadir,” katanya ketika ditemui di SMK Seri Mahkota.

Guru Besar SJKT Ladang Serkam, R Kalaivany, pula berkata semua calon di sekolah itu sudah dimaklumkan sebaik saja arahan pemindahan pusat peperiksaan dikeluarkan, malam tadi.

“Pagi tadi, guru turut berkumpul di SJKT Ladang Serkam untuk membawa semua enam calon ke SMK Seri Mahkota,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )