Peruntukan Akta SPRM akan dipinda untuk beri lebih kuasa perangi rasuah
SHAH ALAM,. Beberapa peruntukan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 akan dipinda bagi menambah baik agensi berkenaan, selain memberikannya lebih kuasa untuk memerangi gejala rasuah dengan lebih berkesan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil berkata antara pindaan yang akan dibentangkan kepada Parlimen selewat-lewatnya hujung tahun ini adalah berkaitan Seksyen 36 Akta SPRM 2009.
“Pindaan Seksyen 36 Akta SPRM itu bagi membolehkan siasatan dilakukan secara langsung terhadap individu yang dilihat hidup mewah melebihi pendapatannya. Ini kerana peruntukan akta sedia ada memerlukan kita siasat terlebih dulu individu itu berkaitan rasuah, baru kita boleh minta dia isytihar harta.
“Jika kita lihat ada individu hidup mewah melebihi pendapatannya tapi tiada siasatan (berkaitan rasuah), kami tidak boleh berbuat apa-apa.
“Kita mahu buat seperti di Hong Kong yang mana jika ada individu perbelanjaan hidupnya lebih daripada emolumen, ia sudah menjadi satu kesalahan dan dia perlu memberi penjelasan (mengenai sumber pendapatan lain),” katanya kepada pemberita selepas program Bicara Minda anjuran Sinar Harian pada Jumaat.
Shamsun Baharin berkata SPRM juga akan mengemukakan beberapa lagi pindaan peruntukan aktanya iaitu berkaitan pelantikan ketua pesuruhjaya dan juga panel-panel pemantau suruhanjaya berkenaan.
Katanya, SPRM kini mempunyai lima panel atau badan bebas untuk memantau suruhanjaya itu yang mana tiga daripadanya dilantik berdasarkan Akta SPRM manakala dua lagi diputuskan oleh kerajaan.
“Ini yang kita mahu cuba sesuaikan supaya semua pelantikan (panel-panel dalam badan pemantau bebas SPRM) dimasukkan di bawah Akta SPRM. Pemantau ini penting bagi memberikan semak dan imbang terhadap suruhanjaya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata hanya 303 penjawat awam yang ditawarkan rasuah tampil menyalurkan maklumat dengan ganjaran berjumlah RM560,000 diberikan sejak kempen gempur gejala tersebut dalam kalangan golongan terbabit digerakkan pada tahun 2011.
Disebabkan itu katanya, semua penjawat awam yang mengesyaki berlakunya aktiviti pemberian dan penerimaan rasuah harus berani melaporkan kegiatan itu bagi mengelakkan persepsi negatif masyarakat terhadap sektor terbabit.
“Negara ada 1.6 juta penjawat awam tapi yang buat aduan terlalu kecil. Kita bukan mahu semata-mata fokus (tangkap) penerima rasuah tapi pemberi rasuah yang sering membuat laporan kepada SPRM. Jadi, yang kena tahan pastilah penerima dan kebanyakannya melibatkan penjawat awam.
“Kita bukan mahu fokus kepada penjawat awam saja kerana SPRM ambil tindakan terhadap sesiapa saja yang buat laporan sama ada pemberi atau penerima. Disebabkan itu kita minta sesiapa yang ada ditawarkan rasuah, segera salurkan maklumat kepada kita,” katanya.
— BERNAMA