Pesara ATM buka syarikat percetakan sendiri untuk hapus stigma

Pesara ATM buka syarikat percetakan sendiri untuk hapus stigma

KUALA LUMPUR,. Bukan mudah untuk menghapuskan stigma orang ramai terhadap pesara tentera yang biasanya dianggap tidak lagi memberi sumbangan kepada negara dan masyarakat sebaik persaraan di samping gemar menyendiri.

Malahan ada juga yang bersikap prejudis atau prasangka bahawa ramai daripada kalangan pesara ini yang enggan bergaul dengan anggota masyarakat disebabkan gaya hidup seharian mereka sebelum ini yang sentiasa terikat dengan bentuk arahan dan misi ketenteraan.

Namun stigma ini menjadi pembakar semangat buat bekas Pegawai Waran 1 (PW1) Wan Mohd Zamri Wan Abu Bakar, 55, untuk terus berusaha memerah keringat, mencari rezeki dengan menawarkan perkhidmatan grafik dan percetakan bagi manfaat masyarakat setempat.

Beliau tidak pernah sekalipun rasa menyesal untuk berkecimpung dalam bidang itu, memandangkan matlamat utamanya adalah untuk membantu seramai mungkin usahawan dan peniaga kecil di sekitar Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur khususnya.

Antara mesin yang digunapakai adalah jenis Ecosovent printer bersaiz 6 kaki ataupun mesin percetakan bagi produk seperti pelekat. – Foto BERNAMA

Untuk rekod, beliau berkhidmat selama 22 tahun dengan Unit pertama 31 Rejimen Artileri Pertahanan Udara Diraja di Kem Sungai Besi (Kuala Lumpur), dan berakhir di Pusat Latihan Artileri Diraja Kem Segenting Port Dickson (Negeri Sembilan).

TAWAR KHIDMAT UNTUK SEMUA

Berasal dari Tanah Merah Kelantan, Wan Mohd Zamri menjelaskan, beliau mula membuka syarikat Galaksi Wany Enterprise di Port Dickson Sunggala Gateway sebaik sahaja bersara pada tahun 2010, dengan modal permulaan menggunakan hasil daripada duit pencennya bagi tujuan melakukan pengubahsuaian kedai serta membeli mesin percetakan jenis inkjet.

Beliau memilih untuk menawarkan servis berkenaan memandangkan terdapat cukup ramai peniaga kecil-kecilan di tepi jalan sepanjang pantai Port Dickson yang memerlukan bantuan promosi perniagaan, apatah lagi tidak banyak syarikat grafik dan percetakan yang wujud di sekitar kawasan itu.

“Saya terbayangkan warga emas yang berniaga goreng pisang dan balang air di tepi jalan namun tiada papan tanda perniagaan dan papan tanda arah bagi mempromosikan produk yang mereka jual. Di sinilah timbulnya idea untuk membantu masyarakat di sekitar sini pada awalnya.

“Tidak lama selepas saya membuka syarikat di sini, makin hari makin ramai pelanggan daripada pelbagai latar belakang yang mengambil servis grafik dan percetakan saya. Antaranya, restoran, politeknik, ibu pejabat polis, dan juga beberapa hotel terkemuka seperti Hotel PNB Ilham Resort dan Hotel Klana Beach Resort, Hotel Seri Malaysia, di samping sekolah sekitar Port Dickson dan kem tentera,” katanya kepda Bernama, ketika ditemui baru-baru ini.

Pada peringkat awal, beliau hanya bekerja seorang diri namun kini dibantu empat orang pekerja yang terdiri daripada kalangan lepasan universiti bagi memberi peluang kepada orang muda mempelajari selok-belok perniagaan grafik dan percetakan.

Antara servis lain yang ditawarkan Galaksi Wany Ent adalah percetakan poster, sepanduk, gegantung, pelekat, papan tanda syarikat dan kad nama.

TABAH HADAPI KESUKARAN

Biarpun kini syarikatnya mampu menjana keuntungan bersih sekitar RM30,000 hingga RM40,000 sebulan, namun di sebalik kejayaan itu terselit pelbagai jerih payah yang mematangkan dirinya sehingga mampu meraih pencapaian yang dinikmati sekarang.

Menurut Wan Mohd Zamri, dalam perniagaan yang dikendalikannya ini, antara masalah yang paling digeruni ialah sekiranya mesin percetakan mengalami kerosakan kerana ia boleh menjejaskan produktiviti syarikat.

“Mesin percetakan antara mesin paling sensitif sebab ia antara mesin utama yang menjadi nadi syarikat kita. Jika timbul isu seperti masalah kepanasan ataupun tersumbat, memang kita akan berputih mata kerana kos baik pulihnya sahaja boleh menjangkau sehingga RM7,000.

“Bayangkan sebuah mesin percetakan bersaiz kira-kira tiga meter ini sahaja, harganya sekitar RM65,000 dan memang cukup mahal.

Sepanjang tempoh syarikat ini ditubuhkan, saya mempunyai empat buah mesin yang sama namun akhirnya rosak. Saya terpaksa tanggung nilai kerugian hampir RM250,000. Keadaan sukar ini turut memaksa saya membuat pinjaman kewangan dengan beberapa bank dan juga pihak TEKUN Nasional bagi membolehkan syarikat terus beroperasi. Namun inilah asam garam yang perlu dilalui setiap usahawan,” jelasnya.
Meskipun dibebani pelbagai kesukaran, beliau cekal tabah kerana apa yang paling penting adalah untuk terus menawarkan perkhidmatan syarikatnya kepada pihak yang memerlukan.

KURSUS PERHEBAT BANYAK MEMBANTU

Ketika berkongsi kisah pengalaman perniagaannya, Wan Mohd Zamri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) yang berpusat di Sungai Buloh (Selangor).

PERHEBAT, kata beliau, banyak memberi tunjuk ajar tentang ilmu grafik dan percetakan menerusi Latihan Peralihan (LP) bagi tentera yang bakal berpencen wajib.

Fokus LP adalah kemahiran teknikal, vokasional dan keusahawanan melibatkan tiga fasa iaitu Pra Latihan Peralihan, Latihan Peralihan dan Pasca Latihan Peralihan yang memakan masa antara tiga bulan hingga 18 bulan, mengikut kelayakan seseorang anggota ATM.

Beliau sempat menjalani kursus selama 18 bulan bersama sembilan orang lagi rakannya bagi mendalami kemahiran melukis grafik menggunakan perisian Adobe Illustrator, InDesign dan Photoshop.

“Sebelum saya bersara pada tahun 2010, kami diberi pilihan untuk memilih apakah jenis kursus kemahiran yang ingin diambil. Saya nampak memang minat saya ke arah multimedia, jadi saya ambil peluang sertai kursus berkenaan.

“Pada awalnya memang sukar nak mahirkan dengan drawing tool yang ada dalam sistem Adobe, namun tenaga pengajar di sana begitu gigih mengajar kami sehingga mahir. Saya masih ingat antara produk pertama saya perlu siapkan ialah mereka cipta grafik kad nama, dan saya berjaya melaksanakannya. Kini, saya mampu membuka syarikat sendiri dan menabur jasa kepada orang ramai. Semua ini hasil didikan PERHEBAT,” katanya.

Selain itu, kegigihan beliau mengusahakan syarikat Galaksi Wany Ent juga sebenarnya adalah hasil daripada pengalaman luasnya dalam Unit Artileri Pertahanan Udara Diraja yang banyak mengajarnya erti sabar serta keteguhan mental dan fizikal.

“Bayangkan sepanjang 22 tahun berkhidmat dengan ATM bermula pada 21 Mac 1988, saya perlu mahirkan diri dengan pelbagai jenis meriam, kena hafal semua nama dan fungsinya, contohnya meriam jenis Oerlikon 35mm.

“Selepas 10 tahun dalam servis, saya diserap menjadi jurulatih dan perlu pula mengajar pelatih berkaitan aspek meriam, radar tentera dan reka bentuk kapal terbang dan pesawat termasuk Sukhoi dan Mikoyan MiG-29. Semua ilmu dan pengalaman berharga ini saya sentiasa terapkan dalam proses membina jenama dan empayar syarikat sendiri,” tambahnya.

Wan Mohd Zamri yang juga salah seorang penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) pada tahun 2011, bercadang untuk membuka satu lagi cawangan di Kelantan dan Melaka, selain memasang impian untuk menggaji lebih ramai golongan muda untuk menyertai syarikatnya itu, memandangkan banyak potensi bidang grafik serta percetakan yang lumayan untuk diterokai.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This