Pesawat Sriwijaya Air hilang kontak selepas berlepas dari Jakarta ke Pontianak
JAKARTA, 9 Jan — Sebuah pesawat komersial Sriwijaya Air dilaporkan hilang kontak selepas berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Jakarta menuju ke Pontianak, hari ini.
Menurut jurucakap Kementerian Perhubungan (Pengangkutan) Indonesia, pesawat komersial itu berlepas jam 2.36 petang waktu Indonesia Barat, dan dijadualkan tiba di Pontianak, jam 3.15 jam waktu Indonesia Timur (4.15 waktu Indonesia Barat).
“Kontak terakhir pesawat itu dengan menara kawalan adalah pada jam 2.40 waktu Indonesia Timur, sebelum hilang,” kata jurucakap berkenaan menerusi pesanan ringkas WhatsApps.
Belum diketahui maklumat lengkap berhubung jumlah penumpang dan kru pesawat berkenaan.
Menurut media tempatan, yang memetik penduduk tempatan, mendakwa melihat sebuah pesawat terhempas di perairan Kepulauan Seribu, Jakarta.
— BERNAMA