Pesawat tergelincir di Istanbul: Tiga maut, lebih 100 cedera

ISTANBUL,. Tiga maut manakala lebih 100 yang lain tercedera dalam insiden pesawat tergelincir di Lapangan Terbang Sabiha Gokcen Istanbul, Turki ketika sedang membuat pendaratan pada Rabu.

Difahamkan, pesawat yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan tambang murah Pegasus Airlines itu, membawa 183 penumpang serta anak kapal semasa kemalangan itu berlaku.

Menteri Pengangkutan Turki, Cahit Turhan berkata, kemalangan itu menyebabkan kapal terbang tersebut pecah kepada tiga bahagian.

Kata beliau, keadaan itu berlaku berikutan pendaratan secara ‘kasar’ yang dilakukan oleh pesawat berkenaan sehingga memaksa para penumpangnya menyelamatkan diri menerusi badan pesawat yang pecah.

Gabenor Istanbul, Ali Yerlikaya dalam satu kenyataan berkata, pesawat itu gagal menyempurnakan pendaratan dan tergelincir kira-kira 50 meter dari atas landasan.

Tambahnya lagi, pasukan bertindak kecemasan sedang berusaha mengeluarkan para penumpang dari bangkai pesawat.

“Kami amat sedih… (Tetapi) kami sangat bersyukur kerana tiada kemalangan yang lebih besar berlaku,” kata Yerlikaya, sambil menambah bahawa pesawat itu berkemungkinan meletup dan terbakar.

Dalam pada itu, jurucakap Pegasus Airlines mengesahkan kejadian terbabit namun pihaknya enggan mengulas lanjut.

Media tempatan turut melaporkan lapangan terbang tersebut terpaksa ditutup dan kesemua penerbangan dipindahkan ke lapangan terbang utama Istanbul.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )