Pesawat terhempas di kawasan perumahan, 3 maut

BRASILIA,. Tiga orang terbunuh selepas sebuah pesawat terhempas di sebuah jalan dekat kawasan perumahan di Belo Horizonte, Brazil.

Pesawat kecil itu terhempas sejurus berlepas kurang 2 kilometer dari Lapangan Terbang Carlos Prates pada Isnin.

Insiden turut mencetuskan beberapa siri letupan menyebabkan api menyala dengan marak dan kepulan asap hitam tebal menjulang ke udara.

Pegawai bomba berkata mangsa yang maut terdiri daripada juruterbang pesawat berkenaan, individu di dalam kereta, dan seorang pejalan kaki.

Media tempatan melaporkan penduduk di kawasan berkenaan cuba memadamkan api dengan menggunakan hos air berdekatan.

“Saya berada di dalam rumah dan terdengar bunyi kemalangan. Setelah itu, saya keluar dan melihat api sedang marak.

“Kami (penduduk) cuba memadamkan api berkenaan, namun terdapat banyak letupan yang menghalang kami,” kata seorang penduduk, Carlos Henrique Pacheco Diniz kepada media tempatan.

Menurutnya lagi, kemalangan itu merupakan insiden kedua yang turut melibatkan pesawat di jalan yang sama tahun ini.

Terdahulu, pada April lalu, seorang maut apabila sebuah pesawat kecil terhempas dan melanggar dinding sebuah rumah di sini.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )