Pestech raih kontrak RM70.5 juta di Papua New Guinea
KUALA LUMPUR,. Pestech International Bhd berjaya memperoleh kontrak kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan bernilai US$17.03 juta (RM70.5 juta) membabitkan sistem kajian dan peningkatan pembekalan tenaga 11kV Port Moresby milik PNG Power Ltd.
Projek diraih oleh anak syarikat milik penuh Pestech & Yongfu Joint Venture, dibiayai bersama oleh Bank Pembangunan Asia (ADB) dan kerajaan Papua New Guinea, kata syarikat penyedia penyelesaian sistem elektrikal itu.
“Proses anugerah porjek itu dibuat menerusi usaha pembidaan kompetitif antaranbangsa dan mengikut prosedur bidaan ADB. Tarikh permulaan projek itu akan ditentukan kemudian,” kata syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Ini merupakan projek ketiga diraih Pestech daripada pihak PNG Power.
“Port Moresby adalah pusat pembangunan bandar terbesar di Papua New Guinea yang mana pertumbuhan jualan tenaganya dijangka meningkat dalam tempoh 10 sehingga 15 tahun lagi,” katanya.
Pestech berkata projek itu dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan dan aset bersih sesaham syarikat itu bagi masa depan dan tahun-tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2020 sehingga 2021.
— BERNAMA