Pesuruhjaya Pas Selangor hanya dengar titah Sultan Sharafuddin

Pesuruhjaya Pas Selangor hanya dengar titah Sultan Sharafuddin

SHAH ALAM,. Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Ahmad Yunus Hairi semalam mengesahkan beliau dititah mengadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hanya untuk mendengar titah baginda.

“Saya mengesahkan bahawa dalam majlis itu saya hanya mendengar titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan tidak ada sebarang perbincangan antara saya dengan baginda,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Yunus berkata demikian bagi menafikan kenyataan berkaitan pertemuan antara Sultan Selangor dengan beliau seperti dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan Bahasa Inggeris semalam.

Menurut laporan itu, Setiausaha Pas Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir berkata Ahmad Yunus dititah mengadap Sultan Sharafuddin bagi membincangkan perkara berkaitan Festival Bon Odori.

Menurut hantaran di Facebook rasmi Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin menitahkan Ahmad Yunus menghadap baginda pada Selasa lepas (14 Jun) di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, dan pertemuan berlangsung kira-kira sejam.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This