Petani dakwa rugi RM163,000 akibat diperdaya kenalan Facebook

Petani dakwa rugi RM163,000 akibat diperdaya kenalan Facebook

KUANTAN,. Seorang petani mendakwa kerugian RM163,000 selepas diperdaya seorang wanita yang dikenali menerusi Facebook sejak bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa, 25, mendakwa suspek mula menawarkan skim pelaburan pada 4 September lepas yang dikatakan mampu memberi pulangan balik modal dan keuntungan dalam tempoh singkat.

“Mangsa mendakwa telah memberi nombor telefon WhatsApp kepada suspek untuk bertanya lanjut mengenai pelaburan itu dan selepas beberapa kali berbincang, mangsa akhirnya bersetuju untuk menyertai pelaburan tersebut.

“Pada 7 September lepas, mangsa mendakwa telah memindahkan wang sebanyak RM70,000 ke dalam akaun diberikan suspek, sebagai modal permulaan yang diikuti dengan beberapa lagi transaksi secara dalam talian selang beberapa hari kemudian,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa mendakwa mula berasa ditipu apabila tidak dapat menghantar pesanan ke akaun WhatsApp suspek dan laman web yang dikongsikan suspek juga tidak lagi beroperasi.

Menerusi rekod transaksi secara dalam talian, mangsa mendapati dia telah memindahkan wang sebanyak 32 kali berjumlah RM163,000.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja, Cameron Higlands semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )