
Peter beri kerjasama sepenuhnya kepada SPRM
KOTA KINABALU,. Menteri Pembangunan Insfrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony memberi kerjasama sepenuhnya dengan hadir ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini kira-kira jam 10 pagi semalam.
Peter yang berpakaian baju kemeja putih dan berseluar hitam disambut oleh beberapa pemimpin Parti Warisan Sabah (WARISAN) serta kira-kira 150 penyokong dari pelbagai daerah selepas diarahkan untuk memberi keterangan di pejabat terbabit.
Beliau yang juga Naib Presiden WARISAN berkata, panggilan untuk memberi keterangan itu adalah satu prosedur yang normal selepas beberapa pihak yang tidak berpuas hati membuat laporan terhadapnya.
“Panggilan ini tidak membabitkan kes besar dan saya hanya memberikan kenyataan kepada pihak SPRM berkenaan beberapa perkara termasuk salah satu projek kerajaan negeri.
“Projek penyelenggaraan jalan juga antara yang terlibat dalam penerangan ini dan ianya tidak bermasalah, kita laksanakan mengikut peraturan serta prosedur yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata selaku menteri di peringkat kerajaan negeri beliau tidak akan melarikan diri dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya jika dipanggil selepas ini.
“Kita berikan semua maklumat serta dokumen berkenaan dan tiada apa untuk disembunyikan.
“Saya rasa panggilan pada hari ini juga disebabkan oleh unsur politik, kita juga melaksanakan projek yang diberi oleh konsesi lama dan kita selaraskan balik.
“Kontraktor sebelum ini tidak melaksanakan tanggungjawab sebaiknya dan kini kita laksanakan penambahbaikan, banyak projek terdahulu yang tidak dilaksanakan dengan baik termasuklah projek di Jabatan Air yang melibatkan kos sebanyak RM180 juta,” katanya.
–Utusan BORNEO