Petronas pemangkin program sukarelawan CERT di Sarawak

KUCHING,. Penglibatan syarikat petroleum negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dalam program Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti (CERT) menjadi pemangkin kepada penyertaan anggota masyarakat dalam program sukarelawan itu di Sarawak.

Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (UPKN) Datuk Dr Chai Khin Chung berkata sejak ia diperkenalkan di negeri ini pada tahun 2010, CERT berjaya menarik penyertaan 9,539 orang penduduk dari 2,255 buah kampung.

“Sehingga kini, sebanyak 53 buah pasukan CERT telah ditubuhkan dan di antara tahun 2015 dan 2019, penyertaannya semakin meningkat, selepas Petronas menjadikan program ini sebagai sebahagian dari tanggungjawab sosial korporatnya,” katanya dalam temubual eksklusif dengan Bernama.

Beliau berkata dalam menunaikan tanggungjawab ini, Petronas telah menyuntik peruntukan RM5 juta bagi memperkukuhkan lagi program ini, yang bertujuan menggalakkan penglibatan ahli masyarakat dalam memberikan bantuan semasa berlakunya kecemasan dan bencana.

“Selain untuk mengadakan program latihan, UKPN turut menggunakan dana itu untuk membeli peralatan seperti pam pemadam api, untuk kegunaan di kawasan yang telah menubuhkan CERT, yang turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela,” katanya.

Chai berkata, CERT merupakan program sukarelawan yang memberikan persediaan awal kepada komuniti setempat, melalui ilmu dan latihan dari agensi yang terlibat, supaya bersiap siaga dalam menghadapi kecemasan dan bencana.

Menurutnya UPKN berperanan mengawasi program ini selain penglibatan Petronas, jabatan-jabatan Polis, Kebajikan Masyarakat, Bomba dan Penyelamat, Kesihatan, Sarawak Energy Berhad, Angkatan Pertahanan Awam, Angkatan Tentera serta pejabat-pejabat Residen dan Daerah seluruh negeri.

“CERT yang ditubuhkan di kawasan-kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak, membolehkan komuniti setempat bertindak awal dalam menghadapi sebarang bencana, sekali gus mampu menyelamatkan nyawa,” katanya.

Beliau berkata faktor keadaan geografi di Sarawak yang mencabar, dengan banyak kawasannya yang masih sukar untuk diakses dengan cepat, menjadikan CERT sebagai pasukan sukarelawan terlatih pertama, yang mampu bertindak untuk menghulurkan bantuan awal.

“Selain dilatih dengan kemahiran mengendalikan kecemasan, anggota CERT juga turut disediakan peralatan yang antara lainnya seperti kit kecemasan awal dan alat pam pemadam api mudah alih, untuk menjalankan peranan mereka,” katanya.

— BERNAMA

Oleh Zaphne Philip

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )