Petronas, YPF kembangkan pakatan strategik bagi peluang pertumbuhan di Argentina

Petronas, YPF kembangkan pakatan strategik bagi peluang pertumbuhan di Argentina

KUALA LUMPUR,. Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memperluas pakatan strategik dengan firma minyak dan gas bersepadu terbesar Argentina, YPF, untuk bekerjasama dalam projek gas asli cecair (LNG) bersepadu dan bidang lain, termasuk minyak huluan, petrokimia dan penyelesaian tenaga bersih di Argentina.

Dalam kenyataan pada Jumaat, syarikat minyak dan gas negara itu menjelaskan pihaknya telah menandatangani Memorandum Persefahaman dengan YPF.

Sebagai tambahan, YPF dan entiti operasi Petronas di Argentina, Petronas E&P Argentina S.A. juga telah memeterai Perjanjian Kajian dan Pembangunan Bersama (JSDA) untuk kajian dan pembangunan potensi projek LNG Bersepadu Argentina, menurut Petronas.

Ia menambah, JSDA itu meliputi pengeluaran gas huluan khusus, saluran paip dan pembangunan infrastruktur khusus, pengeluaran LNG serta pemasaran dan penghantaran.

Menurut Petronas, keputusan akhir pelaburan untuk projek itu akan dibuat selepas penilaian teknikal dan komersial yang teliti dijalankan, disokong oleh terma-terma fiskal, perundangan dan dasar yang kondusif.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata Petronas menumpukan usaha mengembangkan dan mempelbagaikan peluang bersepadu untuk menguasai pasaran utama.

“Kepakaran Petronas dalam LNG bersepadu dan langkah bukan konvensional akan menambah nilai kepada hasrat dan sinergi kedua-dua pihak dalam meneroka peluang LNG yang berpotensi di Argentina, dengan memanfaatkan sumber gas bukan konvensional Vaca Muerta yang amat banyak,” katanya.

Pakatan strategik Petronas dengan YPF bermula pada 2014 melalui perkongsian dalam projek La Amarga Chica di Vaca Muerta, sebagai sebahagian daripada aspirasi pertumbuhan di benua Amerika.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )