PETROS diberi lesen pertama untuk penyimpanan karbon

PETROS diberi lesen pertama untuk penyimpanan karbon

KUCHING,. Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) hari ini telah diberikan lesen pertama untuk penyimpanan karbon yang meliputi kawasan terletak di wilayah Luconia Utara, luar pesisir Bintulu.

Menurut kenyataan medianya, lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak itu membolehkan PETROS memulakan peranan strategiknya sebagai Pengurus Sumber bagi sumber Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) semula jadi negeri.

Mengulas mengenai pengeluaran lesen tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETROS Janin Girie berkata, Sarawak mempunyai potensi terbesar kapasiti penyimpanan karbon di Malaysia susulan negeri ini kaya dengan potensi simpanan di kawasan luar pesisir.

Beliau menambah, pihaknya mengalu-alukan organisasi yang komited dalam mencapai sasaran penyahkarbonan mereka untuk meneroka menggunakan potensi CCUS di Sarawak bersama PETROS.

“Pembangunan infrastruktur CCUS akan membuka kunci dan mengkomersialkan pembangunan rizab ‘sour gas’ yang terkandas di luar pesisir Sarawak.

“Gas tambahan yang dibuka oleh CCUS boleh memastikan sekuriti bekalan tenaga dan gas jangka panjang untuk Sarawak sekali gus melengkapkan peralihan tenaga untuk Sarawak dan Malaysia,” ujarnya menerusi kenyataan tersebut.

Tambah beliau, infrastruktur CCUS asas yang ditubuh membolehkan pembangunan medan ‘sour gas’ diperluaskan lagi.

Ia juga katanya, membolehkan pemancar karbon dioksida (CO2) lain (tempatan dan asing) menangkap dan menyimpan CO2, mengurangkan kesan pemanasan rumah hijau, seterusnya membolehkan ekonomi karbon-sifar bersih direalisasikan.

“Peluasan infrastruktur ini seterusnya akan mewujudkan peluang perniagaan untuk mengendalikan infrastruktur CCUS, menjana pendapatan ekonomi negeri, di samping membangunkan lagi keupayaan tempatan,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This