PGA rampas lori kontena, beras siam bernilai lebih RM450,000

PGA rampas lori kontena, beras siam bernilai lebih RM450,000

PASIR MAS,. Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sebuah lori kontena serta 34.7 tan beras siam dengan nilai keseluruhannya RM458,800 di sebuah stor di Kampung Bendang Buyung dekat Jedok, Tanah Merah, pada jam 12.30 tengah malam kelmarin.

Timbalan Komander Briged Tenggara PGA ACP Sanudin Md Isa berkata, dalam rampasan itu, seorang lelaki berumur 24 tahun dipercayai pemilik stor berkenaan turut ditahan.

Beliau berkata, kesemua barangan itu dirampas melalui hasil pemeriksaan sepasukan anggota selepas mendapat maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan.

“Pemeriksaan menyeluruh yang dilakukan pasukan PGA di stor terbabit menemukan sebuah lori kontena mengandungi 564 kampit beras dan 130 kampit lagi yang setiap satu kampit seberat 50kg di dalam stor itu.

“Pemeriksaan terhadap buku stok stor itu juga mendapati beras siam melebihi stok sedia ada dan keterangan yang diberikan pemilik stor mengenai punca kemasukan beras itu juga me-ragukan.

“Seterusnya, pihak kami menahan pemilik stor terbabit dan merampas kesemua beras bernilai RM138,800 dan lori kontena (RM320,000),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas antara Batalion Ke-9 PGA kepada Batalion Ke-7 PGA di Martek PGA Lubok Setol, di sini semalam.

Menjelas lanjut, beliau berkata beras yang dijumpai itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran melalui laluan tidak sah justeru, dokumen seperti permit pemindahan, invois berkaitan dan buku stok stor juga dirampas bagi siasatan lanjut.

“Satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Batu Gajah, Tanah Merah manakala kesemua barangan rampasan akan diserahkan kepada pihak Kawal Selia Padi dan Beras Kelantan bagi siasatan mengikut Seksyen 20 Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994,” tambahnya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This