PGA Sarawak Berkas Dalang Sindiket Pemerdagangan Manusia
KUCHING,. Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki warga Indonesia yang disyaki dalang utama dalam satu sindiket pemerdagangan manusia yang aktif menyeludup pendatang asing masuk ke Sarawak, di sini semalam.
Komander Briged PGA Sarawak, SAC Mancha Ata berkata lelaki itu diberkas dalam Ops Benteng kira-kira pukul 1.00 tengah hari oleh satu pasukan petugas dari Ibu Pejabat PGA Sarawak, di perkarangan sebuah hotel di kawasan Batu Tiga di sini.
Dalam satu kenyataan di sini hari ini beliau berkata empat rakyat tempatan dan 17 pendatang tanpa izin, termasuk seorang kanak-kanak lelaki turut ditahan dalam Ops berkenaan.
Menurutnya terdahulu pasukan petugas menerima maklumat berhubung pergerakan tiga kenderaan dari Biawak berdekatan sempadan Malaysia-Indonesia di daerah Lundu ke arah bandar raya ini, dan hotel berkenaan dipercayai digunakan sebagai transit untuk menghantar pendatang asing yang masuk ke dalam negara secara haram ke bandar Sibu, Tatau dan Bintulu di utara negeri.
“Sindiket ini melibatkan satu kumpulan tempatan dikenal pasti sebagai Geng Adi Tailo yang mempunyai rangkaian dengan kumpulan Feri Yeni di (Kalimantan) Indonesia yang aktif menjalankan kegiatan menyeludup pendatang asing masuk ke Sarawak,” katanya.
Kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan dekat sini untuk siasatan lanjut.
— BERNAMA