Piala AFF Suzuki platform Midea dekati peminat bola sepak Asia Tenggara

Piala AFF Suzuki platform Midea dekati peminat bola sepak Asia Tenggara

KUALA LUMPUR,. Pengeluar peralatan rumah terbesar dunia Midea secara rasmi mengumumkan penajaan kepada kejohanan utama Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) iaitu kejohanan bola sepak Piala AFF Suzuki 2020.

Ketua Jenama dan Komunikasi Bahagian Perniagaan Antarabangsa Midea Brando Brandstaeter berkata pengeluar peralatan elektrik China itu ingin memanfaatkan populariti sukan bola sepak di rantau ini bagi meningkatkan jenama serta mengembangkan pasaran di Asia Tenggara melalui strategi penajaan yang holistik.

“Memandangkan Asia Tenggara mempunyai peminat bola sepak yang fanatik, bekerjasama menerusi Piala AFF Suzuki adalah platform tepat untuk berinteraksi dengan peminat dan memacu jenama kami ke tahap seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengurus Besar Midea Asia Tenggara Jackie Huang berkata Asia Tenggara adalah pasaran penting bagi jenama berkenaan dan berharap dapat mengukuhkan reputasinya sebagai gergasi pengeluar peralatan rumah global menerusi tajaan terbaharu itu.

Menerusi penajaan itu, jenama Midea akan dipaparkan pada papan iklan perimeter, iklan televisyen dalam stadium, saluran digital kejohanan dan jaminan rasmi kejohanan.

Awal tahun ini, Midea mengumumkan kerjasama dengan pasukan gergasi Liga Premier Inggeris Manchester City dan Kelab Brazil Corinthians Paulista sebagai sebahagian daripada usaha untuk membawa jenama kepada khalayak.

Piala AFF Suzuki 2020 yang sepatutnya diadakan pada November dan Disember tahun ini, bagaimanapun ditangguhkan ke 11 April hingga 8 Mei tahun depan susulan pandemik COVID-19.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This