Piala Malaysia: 20,000 penonton di negeri Fasa 4 PPN dibenar ke stadium

Piala Malaysia: 20,000 penonton di negeri Fasa 4 PPN dibenar ke stadium

KUALA LUMPUR,. Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan bahawa 50 peratus daripada kapasiti tempat atau maksimum 20,000 penonton di negeri Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan hadir di stadium bagi menyaksikan perlawanan Piala Malaysia 2021.

Dalam kenyataan hari ini, MFL turut memaklumkan kebenaran ke stadium bagi negeri Fasa 3 PPN adalah 30 peratus daripada kapasiti tempat atau maksimum 10,000 penonton, manakala bagi negeri Fasa 2 PPN adalah 20 peratus atau maksimum 5,000 penonton.

“Berdasarkan SOP (prosedur operasi standard) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS), jumlah penyokong yang dibenarkan memasuki stadium adalah mengikut fasa.

“Apa yang pasti ia menjadi satu langkah yang baik bagi melonjakkan kembali industri bola sepak negara apatah lagi kita sedang meraikan ulang tahun ke-100 Piala Malaysia,” kata Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan.

Ab Ghani berkata MFL turut memberi kebenaran kepada kelab untuk menentukan jumlah kemasukan penonton berdasarkan kemampuan mereka dari aspek pengurusan, petugas stadium dan pasukan keselamatan pada hari perlawanan.

Bulan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan individu yang lengkap vaksinasi dibenarkan hadir menonton perlawanan sukan dan rekreasi, kecuali kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, berkuat kuasa 1 Okt.

Ismail Sabri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 berkata kehadiran itu meliputi sebelum, semasa dan selepas acara dengan syarat penonton atau penyokong memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan dan minum sepanjang berada di stadium.

Sementara itu, Ab Ghani berkata mana-mana pasukan yang ingin membenarkan penonton hadir ke stadium bagi perlawanan persahabatan sepanjang tempoh saingan Piala Malaysia berehat sehingga 28 Okt ini, perlu memaklumkan kepada MFL terlebih dahulu.

“SOP yang lengkap berkenaan penyokong masuk ke stadium bermula 29 Okt ini akan diberikan kepada pasukan dalam tempoh terdekat,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )