Piala Malaysia: Kemenangan Selangor bakar semangat Wan Zack

Piala Malaysia: Kemenangan Selangor bakar semangat Wan Zack

MELAKA,. Pemain tengah Selangor Wan Zack Haikal Wan Nor yang kini kembali beraksi selepas berehat panjang sejak awal musim berhasrat mahu membantu pasukannya menjulang Piala Malaysia tahun ini.

Kemenangan 2-1 skuad Merah Kuning ke atas Melaka United dalam pusingan pertama Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat malam tadi nyata membakar semangat pemain berusia 29 tahun itu untuk merealisasikan cita-citanya bagi pencapaian peribadi untuk pertama kali.

“Alhamdulillah kita menang perlawanan ini, terima kasih kepada ketua jurulatih, Micheal Feichtenbeiner yang memberi peluang saya beraksi untuk membantu Selangor dan pujian juga kepada rakan-rakan atas kerjasama baik walaupun keadaan padang yang tidak berapa bagus.

“Sudah tentu jika boleh saya mahu menjaringkan gol hari ini tetapi tidak dapat, untuk perlawanan akan datang saya mahu lakukannya dan bawa pasukan ini mara lebih jauh,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan itu di sini, malam tadi.

Pemain yang diturunkan bagi memperkuatkan pasukan dalam kesebelasan utama Selangor sebelum ini itu, dilaporkan mengalami kecederaan paha sejak Liga Malaysia bermula.

Terdahulu pada perlawanan tersebut, pasukan Merah Kuning menumpaskan Melaka United menerusi gol jaringan Ifedayo Olusegun pada minit ke-22 hasil umpanan Wan Zack Haikal sebelum Sandro da Silva menambah jaringan pada minit ke-52.

Skuad Sang Kancil yang cuba bangkit berjaya menyumbat gol menerusi penyerang import Uche Agba pada minit ke-56 bagaimanapun gagal menyekat kemaraan Selangor melangkah ke pusingan suku akhir Piala Malaysia.

Sementara itu, jurulatih Melaka United Zainal Abidin Hassan berkata kekalahan itu sememangnya mengecewakan namun beliau tetap memuji barisan pemain yang keseluruhannya menunjukkan tahap permainan yang baik namun dihukum kesilapan mudah.

“Para pemain bertungkus lumus dan tidak berputus asa pada babak kedua perlawanan namun dalam bola sepak jika kita tidak manfaatkan peluang ia akan merugikan pasukan walaupun kita bermain dengan baik,” katanya.

Tambahnya, selepas ini beliau akan berehat seketika dan menyerahkan kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) bagi perancangan seterusnya dan menentukan nasibnya bersama pasukan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This