Piala Thomas: Rexy jelaskan pilih Sze Fei-Nur Izzuddin sebagai beregu pertama

Piala Thomas: Rexy jelaskan pilih Sze Fei-Nur Izzuddin sebagai beregu pertama

BANGKOK,. “Bukan tentang menang atau kalah tapi meneruskan momentum selepas menang peringkat kumpulan ke atas Jepun.”

Pengarah kejurulatihan beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky berkata demikian ketika menjelaskan keputusannya menurunkan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk bermain sebagai beregu pertama dalam perlawanan suku akhir menentang India, pada Kejohanan Piala Thomas 2022 di Impact Arena di sini pada Khamis.

Malaysia tewas 2-3 dalam perlawanan tersebut.

Beliau berkata beregu nombor 13 dunia itu dipilih kerana mereka berjaya melaksanakan peranan dalam saat penting ketika diturunkan sebagai beregu pertama dalam saingan peringkat kumpulan berdepan Jepun, dengan menewaskan beregu nombor empat dunia Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-19, 21-16, sekali gus membantu Malaysia meraih kemenangan 3-2 dan muncul juara Kumpulan D Rabu lepas.

Namun, juara Terbuka Jerman 2022 itu gagal memenuhi jangkaan dan dikalahkan 19-21, 15-21 oleh Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, justeru mencetus kebangkitan India yang ketinggalan 0-1 selepas tewas pada perlawanan pembukaan.

“Saya bukan kata ia adalah betul atau salah, tetapi saya cuma mahu memanfaatkan momentum daripada kemenangan pasukan. Tetapi, akhirnya, realiti di atas gelanggang memberi kesan kepada prestasi pemain kita.

“Jika saya menurunkan Soh Wooi Yik, jika kita kalah ia masih sama bukan?” ujar Rexy kepada pemberita Malaysia ketika ditemui di hotel penginapan pasukan negara di sini semalam.

Kejayaan Satwiksairaj-Chirag menyemarakkan semangat pasukan India untuk mengetepikan cabaran Malaysia dan seterusnya layak buat pertama kali ke separuh akhir Piala Thomas.

Jurulatih dari Indonesia itu bagaimanapun mengambil tanggungjawab atas kekalahan tersebut, menyatakan beliau yang memutuskan barisan pemain.

Namun, tegasnya, jika pemain negara menunjukkan semangat juang yang lebih tinggi, mereka mungkin mampu menewaskan India.

“Walaupun anda telah bersiap sedia dengan baik, anda akan tetap gagal jika tidak mempunyai semangat juang,” katanya
Rexy turut menafikan bahawa Malaysia memandang rendah cabaran India semalam dan berkata mereka adalah pasukan yang baik, terutama pemain perseorangan.

Sementara itu pengarah kejurulatihan perseorangan BAM Wong Choong Hann, yang memuji prestasi cemerlang jaguh perseorangan negara Lee Zii Jia dalam kempen Piala Thomas kali ini, turut mengakui perseorangan kedua dan ketiga India Srikanth Kidambi dan Prannoy H.S.
jauh lebih handal daripada Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao.

Choong Hann percaya kekalahan itu telah memberi anak buahnya pengajaran bahawa mereka perlu mempunyai ‘semangat yang tinggi dan kekuatan’ untuk bermain pada peringkat tinggi.

“Kenyataan yang pahit ialah saya percaya bahawa pemain kita akan belajar daripada pengalaman ini kerana sukar bagi mereka untuk melihat lawan meraikan kejayaan di depan mata, serta intensiti semua perlawanan,” katanya.

Kekalahan dengan India bermakna penantian Malaysia untuk merangkul piala berprestif itu, yang kali terakhir dimenangi pada 1992 di Kuala Lumpur, berterusan.

Kali terakhir Malaysia mara melebihi peringkat suku akhir ialah pada edisi 2016 di China iaitu sehingga separuh akhir.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This