Pilih calon Warisan bagi lancarkan pembangunan – Zuraida
KIMANIS,. Penduduk Kimanis perlu memilih wakil rakyat dalam kalangan parti pemerintah bagi memudahkan usaha kerajaan membawa pembangunan di kawasan ini, kata Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Zuraida Kamaruddin.
Oleh itu katanya pengundi di kawasan berkenaan perlu memilih calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu 18 Jan ini.
Beliau yang juga Naib Presiden PKR berkata pada masa ini, PH merupakan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang ditadbir Warisan menjalin kerjasama yang baik dengan PH, sekali gus memudahkan pembangunan dilaksana di negeri ini.
“Kita berkempen (bagi PRK Parlimen Kimanis) dengan membawa dasar kerajaan persekutuan bersama kerajaan negeri untuk melaksana dasar serta manifesto yang digariskan.
“Sekiranya kita (penduduk) tidak memilih calon (Warisan) pada PRK Kimanis, (dikhuatiri) akan merencatkan usaha pembangunan,” katanya ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya PH bagi PRK Kimanis di sini, hari ini.
PH adalah rakan sekutu Warisan di Sabah bersama sebuah lagi parti tempatan, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata sekiranya calon Warisan memenangi pilihan raya kecil tersebut, urusan akan lebih mudah kerana mereka dalam “sebuah pasukan”.
Beliau berkata kerajaan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sudah melakukan banyak perkara untuk membangunkan negeri ini.
Sementara itu, Zuraida mahu jentera wanita PH bersama Warisan dan UPKO berusaha keras bagi memenangi hati pengundi wanita di Parlimen Kimanis.
“Pengundi wanita ada lebih 15,000 di sini, dan undi mereka penting. Jentera wanita yang bertapak di pejabat Bersatu (di Membakut Jaya) akan bergerak memberi penjelasan sekali gus menyantuni pengundi ini,” katanya.
PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Karim dengan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin.
Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bongawan dan Membakut dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi, termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir berada di luar negara.
— BERNAMA