Pilih kerajaan Sabah sehaluan kerajaan persekutuan, kata PM

Pilih kerajaan Sabah sehaluan kerajaan persekutuan, kata PM

KUALA PENYU,. Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pengundi perlu memilih Kerajaan Negeri Sabah yang sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan bagi memudahkan urusan pentadbiran dan pembangunan.

Perdana Menteri berkata Sabah akan menjadi lebih gemilang jika dipimpin Perikatan Nasional (PN) bersama-sama parti yang sehaluan dengannya.

“Saya tiada hak untuk menentukan kerajaan tapi anda ada hak. Dalam keadaan sebeginilah saya kira Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini akan menguji tahap kebijaksanaan pengundi dalam memilih kerajaan yang dikatakan mampu untuk uruskan pelbagai perkara secara baik,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra Perdana Menteri bersama rakyat di sini hari ini.

Turut hadir Naib Pengerusi Bersatu yang juga Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Ahli Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun dan calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu Datuk Limus Jury.

Di hadapan ratusan hadirin pada majlis yang menyaksikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19, Muhyiddin turut berkongsi pengalaman kerajaan PN ketika ini dalam menguruskan negara sewaktu mendepani pandemik tersebut.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This