Pilihan Raya Negeri Sarawak ditangguhkan di bawah Ordinan Darurat – SPR

Pilihan Raya Negeri Sarawak ditangguhkan di bawah Ordinan Darurat – SPR

KUALA LUMPUR,. Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang dijadual diadakan pada tahun ini ditangguhkan meskipun hari ini merupakan hari terakhir penggal DUN itu, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata ini susulan Proklamasi Darurat yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari lepas dan di bawah peruntukan Seksyen 13 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

“Tarikh Pilihan Raya Negeri Sarawak hendaklah diadakan pada tarikh difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak,” katanya dalam kenyataannya semalam.

Beliau berkata SPR hari ini telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berhubung tamat tempoh DUN yang ke-18.

Bagaimanapun di bawah Seksyen 15 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, kuasa untuk memanggil, memprorog dan membubarkan DUN Sarawak tidak mempunyai kesan, katanya.

Terdahulu, Mohd Asfia dilaporkan sebagai berkata bahawa DUN Sarawak akan kekal berfungsi di bawah Ordinan Darurat hingga 1 Ogos depan.

Berdasarkan perlembagaan negeri, penggal DUN semasa berakhir selepas 6 Jun, iaitu cukup tempoh lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya diadakan.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )