Pilihan raya Sarawak: Zuraida mahu 30 peratus kuota calon PH diberikan kepada wanita

KUCHING,. Pakatan Harapan mahu supaya calon wanita mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri(PRN) Sarawak ke-12 akan datang ditingkatkan sehingga 30 peratus, selaras komitmen kerajaan Persekutuan memastikan kuota berkenaan dipenuhi dalam penjawatan kerajaan.

Bercakap di Konvensyen Wanita PH Sarawak yang pertama kali diadakan, Ketua Wanitanya Zuraida Kamaruddin menyeru supaya kepimpinan PH negeri memberi jaminan berkenaan sebagai mengiktiraf peranan wanita dalam pembangunan negara.

“Pengerusi (PH Negeri) Chong (Chong Chieng Jen) kami memerlukan sokongan anda , nama-nama calon yang akan dicadangkan pada parti-parti semua yang ada, pastikan ada 30 peratus wanita diletakkan.

“Tentukan daripada 10 calon tiga adalah wanita, ini adalah dasar PH ketika mengambil alih kerajaan,” katanya ketika memberi ucaptama dan kemudiannya turut melancarkan jentera PRN wanita PH, di sini, hari ini.

Turut hadir, Chong dan Pengerusi PKR, Sarawak Baru Bian.

Zuraida mahu supaya PH mengambil peluang ini yang menurutnya masih belum dicapai dan dipandang kerajaan negeri.

“Dia nak letak pada tahun 2026 (Matlamat kerajaan negeri capai kuota 30 peratus), kenapa tidak sekarang, sudah 60 tahun memerintah tak mampu letak wanita dalam kerajaan, hanya ada satu sahaja exco wanita dalam kerajaan negeri,” katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Zuraida berkata daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak, pada PRN-11 pada 2016, PH meletakkan hanya 14 calon wanita, iaitu dua daripada Amanah dan masing-masing enam bagi PKR dan DAP.

“Kita ada Bersatu sekarang, jadi kita harap akan ada lebih ramai wanita (pada PRN akan datang,” katanya menambah bahawa keahlian wanita bagi keempat-empat parti komponen di bawah PH itu sekarang adalah kira-kira 3,000 orang.

Dalam perkembagan lain, ditanya sekiranya gabungan UMNO-PAS satu ancaman kepada PH, Zuraida yakin ia tidak memberi ancaman kepada PH, berdasarkan prestasi pilihan raya-pilihan raya sebelum ini.

“Sedangkan dalam pilihan raya lepas, dalam pertandingan tiga penjuru kita masih mampu menang bertanding dengan UMNO dan PAS. Ini adalah satu gimik politik PAS dan UMNO sahaja,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )