
Pingat ditarik balik kerana tendangan selepas tamat masa
KUALA LUMPUR,. Jawatankuasa Khas Teknikal Sukan Malaysia (Sukma) menjelaskan bahawa pingat gangsa acara kumite 84kg lelaki ditarik balik kerana tendangan dilakukan selepas masa pertarungan tamat.
Jawatankuasa berkenaan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas semakan video rakaman dilakukan oleh Juri Teknikal Karate susulan bantahan dikemukakan oleh kontinjen Sabah terhadap tiga mata yang diberikan kepada wakil Sarawak P. Barath Raj.
Juri kemudian telah memutuskan bahawa kemenangan Bharat Raj dibatalkan hasil satu tendangan di saat akhir terhadap Mohd Zuhair Zukifli Zainal untuk membolehkan atlet Sarawak itu menang dengan keputusan 9-7.
“Ekoran pembatalan kemenangan Barath Raj, kemenangan dan pingat gangsa acara berkenaan telah diberikan kepada atlet Sabah Mohd Zuhair Zulkifli.
“Pengurus pasukan Sarawak kemudiannya tidak mengemukakan sebarang rayuan kepada Juri Rayuan Tertinggi Sukma terhadap keputusan Ketua Juri Teknikal Sukan Karate itu,” menurut kenyataan itu.
Jawatankuasa Khas Teknikal Sukma berharap agar penjelasan berkenaan dapat meleraikan kekeliruan dan pelbagai dakwaan yang tular di media sosial kerana keputusan dibuat berdasarkan peraturan pertandingan ditetapkan.
Semalam tular video di media sosial, bapa kepada atlet terbabit mendakwa pembatalan pingat berpunca daripada tidak keadilan juri.
— BERNAMA